Selasa, 25 Julai 2017

SIAPA "HANTU-HANTU RAYA" DI PEKAN?

Menjawab cabaran terhadapnya agar kekal berani bertanding di Pekan, Tun Mahathir Mohamad menyifatkan kawasan Parlimen yang diwakili Najib Razak itu sebagai kawasan "hantu raya".

Ini kerana, ujar beliau, jumlah pengundi kawasan itu berubah dengan jumlah yang agak banyak pada setiap kali pilihanraya diadakan.

Itu bukan kawasan pilihanraya, itu kawasan "hantu raya", tambah beliau.

Sebelum ini, Tun Mahathir ada melontarkan ura-ura kemungkinan akan bertanding di Pekan dan susulan daripada itu, sepupu Najib, Hishammudin Hussein mencabar Pengerusi Pakatan Harapan itu agar menunjukkan keberaniannya dengan kekal dengan pendirian tersebut.

Kalau beliau berani, saya sendiri bersama dengan Zahid Hamidi dan seluruh kepimpinan UMNO yang lain akan turun untuk mempertahankan Najib, tegas Hishammuddin.
Untuk melihat sama ada benar atau tidak kata-kata Tun Mahathir itu, mari kita lihat jumlah pengundi bagi Pekan sejak 1995 hingga 2013.

Pada pilihanraya 1995, jumlah kertas undi yang dikeluarkan ialah 24,565 iaitu mewakili 71.6 peratus daripada keseluruhan pengundi. Najib ketika itu menang dengan majoriti 10,793 undi.

Pada pilihanraya 1999, jumlah kertas undi yang dikeluarkan ialah 26,797 yang mewakili 74.78 peratus daripada jumlah pengundi. Najib ketika itu menang tipis hanya 241 undi saja.

Pada pilihanraya 2004, jumlah kertas undi yang dikeluarkan ialah 41,046 yang mewakili 77.9 peratus daripada seluruh jumlah pengundi. Pertambahan yang mendadak itu menyebabkan Najib menang dengan majoriti 22,922 undi, satu peningkatan yang cukup luar biasa.

Pada pilihanraya 2008, jumlah pengundi berdaftar yang direkodkan di Pekan ialah 58,217 dan kertas undi yang dikeluarkan sebanyak 47,870. Peratusan keluar mengundi ketika itu ialah 82.2 peratus. Majoriti kemenangan Najib menaik lagi kepada 26,464 undi.

Pada pilihanraya 2013 yang lalu, jumlah pengundi Pekan terus meningkat kepada 80,260 undi dan Najib menang menewaskan calon PKR, Fariz Musa dengan majoriti 35,613 undi.

Daripada statistik itu, jelas bahawa sejak pilihanraya 1999 di mana beliau hampir tewas ketika itu, jumlah pengundi di Pekan telah meningkat dengan mendadak.

Berapakah pula bertambahnya jumlah pengundi Pekan untuk pilihanraya akan datang?

Jawapan paling mudah - sudah tentu jumlahnya bertambahnya lagi. Berapa? Adakah ia sudah mencecah 100 ribu pengundi?

Siapakah mereka itu? 

Apakah kawasan perumahan bertambah dengan banyaknya di Pekan tahun demi tahun?

Apakah setiap tahun begitu ramai orang daripada luar Pahang memilih untuk berhijrah, bermastautin dan memulakan kehidupan baru di Pekan?

Apakah juga bermakna sejak awal tahun 80-an, orang-orang Pekan begitu produktif menambah bilangan ahli keluarga sehingga mampu menambah jumlah pengundi bermula pada pilihanraya 2004?

Ataukah mereka itu adalah  "hantu-hantu raya" yang didatangkan dari mana-mana yang peranannya semata-mata hanya untuk mengundi setiap lima tahun sekali saja?

2 ulasan:

  1. Analisa yg jitu dn menjadi bhn pertanyaan.

    BalasPadam
  2. Spr kena siasat...bukan bersubahat...tapi apakan daya perangai yahudi tersemat di hati....maka ini la yang terjadi di Malaysia..malang sungguh rakyat Malaysia ni...

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA