Rabu, 19 Julai 2017

Setiausaha Najib kata Dr Mahathir hanyalah boneka, bukan ‘top dog’


Setiausaha Najib kata Dr Mahathir hanyalah boneka, bukan ‘top dog’
Pandangan mengatakan Dr Mahathir tidak berkuasa dalam pakatan pembangkang banyak kali disuarakan Umno dan Barisan Nasional. 
PUTRAJAYA terus menggelarkan Lim Kit Siang sebagai pemimpin sebenar pakatan pembangkang apabila setiausaha akhbar kepada Perdana Menteri Najib Razak menyifatkan Dr Mahathir Mohamad sekadar boneka DAP dan bukannya “top dog” dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).
Setiausaha Akhbar Tengku Sariffuddin juga memerli cadangan Dr Mahathir untuk mengadakan pertemuan town hall untuk menjelaskan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mengatakan yang pertemuan seumpama itu tidak pernah dilakukan sepanjang 22 tahun Dr Mahathir menjadi perdana menteri.
“Kini, sebagai pengerusi pembangkang, Dr Mahathir menuntut bahawa beliau adalah ‘top dog’ pihak pembangkang, setaraf dengan perdana menteri. Tetapi, sama ada beliau sebenarnya penuh ilusi, tidak realistik atau dengan sengaja mahu menipu rakyat, hakikatnya diktator sebenar pembangkang adalah Lim Kit Siang – seorang yang tidak kelihatan dalam carta kepimpinan mereka,” kata Tengku Sariffuddin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Beliau turut menyentuh fakta yang parti Dr Mahathir, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya mempunyai satu kerusi Parlimen berbanding DAP yang mempunyai majoriti kerusi dalam pakatan pembangkang sebanyak 38 kerusi.
“Secara realiti, Kit Siang adalah ketua sebenar dan Dr Mahathir hanyalah sekadar boneka. Sebagaimana senarai pemimpin pembangkang yang diumum terdiri itu daripada orang Melayu, ia sebenarnya menyembunyikan kuasa dan kawalan sebenar DAP,” tambahnya.
Kenyataan Tengku Sariffuddin itu senada dengan pendirian Umno dan Barisan Nasional (BN) yang PH sebenarnya dikawal DAP dan kemenangan pakatan pembangkang akan menyebabkan kehilangan kuasa Melayu di Malaysia.
Perlembagaan Malaysia tidak menyekat sesiapa sahaja daripada menjadi perdana menteri tetapi kehadiran berterusan Umno dalam kerajaan pemerintah bermakna orang Melayu terus dijamin menduduki jawatan tertinggi eksekutif negara itu.

Beberapa orang pemimpin Umno turut mengulangi pendirian yang peranan DAP dalam pakatan pembangkang sebagai pengatur sebenar dan paling berkuasa di antara semua parti terlibat, dalam cubaan untuk meletakkan pertempuran pilihan raya umum nanti dalam sempadan perkauman dan agama.
Tetapi tindakan Dr Mahathir untuk menyertai pakatan pembangkang mengubah pertempuran politik kepada medan pertempuran orang Melayu yang juga merupakan majoriti dalam negara seterusnya menyebabkan perpecahan undi Melayu dalam pilihan raya umum yang dijangka diadakan pada 2018 tidak dapat dielakkan lagi.
Umno dibawah kepimpinan Najib kehilangan undi popular buat pertama kali pada 2013 walaupun mempunyai sokongan Dr Mahathir ketika itu, menghangatkan spekulasi yang parti itu akan tewas berdasarkan situasi semasa.
Dr Mahathir mengetuai sekumpulan kecil tetapi setia bekas pemimpin Umno, termasuklah anak lelakinya, bekas menteri besar Kedah yang dipecat Mukhriz Mahathir serta bekas timbalan perdana menteri yang juga dipecat Muhyiddin Yassin dan berganding bahu dengan PKR yang diterajui Anwar Ibrahim, yang hampir 20 tahun lepas dipecat ahli politik berpengalaman itu.
Parti serpihan PAS, Amanah juga menyertai Bersatu dan PKR untuk membentuk PH bersama-sama dengan DAP, satu-satunya parti majoriti Cina di bangku pembangkang.
Pakatan pemerintah dan pembangkang sudah mula memulakan pertempuran dalam usaha melonjakkan peluang mereka memegang tampuk kuasa walaupun masih tidak wujud petanda yang pilihan raya akan berlangsung dalam masa terdekat. Spekulasi semasa ialah pilihan raya umum akan diadakan seawal September selepas Sukan SEA berakhir pada 31 Ogos, yang juga merupakan ulang tahun kemerdekaan negara ke 60 tahun.

1 ulasan:

  1. Tengku Sharifudin dh takut dgn bayang2nya :-
    1. Takut umno kalah.
    2. Sdg melobi jd calon.
    3. Bodek giler
    4. Bila jd calon, dbimbingi kalah umno dn tiada peluang jd menteri dsbnya. Doakn umno kalah.
    5. Dia ni budak suruhan kak mah.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA