Sabtu, 29 Julai 2017

Setia Mahfuz masih pada PAS

Dikecam, disindir dan dispekulasi dengan pelbagai kemungkinan namun Datuk Mahfuz Omar berkata beliau tetap bersama parti yang dianggotainya sekarang - PAS.
Menurut anggota parlimen Pokok Sena itu pada masa sama keadaan itu tidak menghalangnya memberikan pandangan berbeza dengan parti asalkan dianggap baik untuk pertubuhan berkenaan.
"Kalau mereka (pimpinan PAS) berasa pandangan yang saya beri itu berbeza, itu adalah hak saya untuk memberikan komen berbeza," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Mahfuz sebelum itu diminta mengulas spekulasi yang memetik namanya serta beberapa wakil rakyat PAS akan meninggalkan parti itu.
Laporan media menyebut, dua lagi wakil rakyat PAS yang dijangka menukar haluan menjelang pilihan raya umum akan datang ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah, dan Mohd Nasir Mustafa (Kubang Rotan).
Pembabitan mereka di atas pentas ceramah Pakatan Harapan (HARAPAN), dakwa Sinar Harian, menjadi petanda bahawa perubahan itu memang akan berlaku.
Pada malam ini Mahfuz dijadual berada di Naka, Kedah, bersama Mohd Nasir dalam ceramah HARAPAN.
PAS akan dijauhi
Ketiadaan mereka dalam beberapa program utama parti, termasuk ketika dihadiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, juga menunjukkan kecenderungan ADUN terbabit mula berubah.
Untuk rekod Amiruddin, 55, ialah bekas pegawai kerajaan yang berkhidmat sebagai jurutera sebelum dipilih bertanding dalam pilihan raya kecil Anak Bukit selepas Datuk Fadzil Noor meninggal dunia pada 2002.
Fadzil adalah pemimpin PAS yang banyak dikenang sebagai tokoh berjaya menyatukan anggota serta pimpinan parti itu walapun datang dari pelbagai aliran serta latar belakang.

Mahfuz pula pernah berkhidmat sebagai ketua pemuda PAS semasa Fadzil (gambar) menjadi presiden.
Kata Mahfuz, beliau tidak dapat melihat logik terhadap spekulasi yang dikaitkan dengannya akhbar Sinar Harian.
Apa yang pasti, kata Mahfuz, beliau sentiasa menyokong HARAPAN sejak awal penubuhannya lagi.
“Saya tak tahu apa yang dirumuskan dan apa asas dibuat Sinar dan mengapa itu tajuk yang dipilih.
"Penglibatan saya bersama HARAPAN tidak ada masalah selama ini.
"Walaupun saya dalam PAS ia tidak menghalang untuk saya terus melibatkan diri dalam program HARAPAN," katanya.
Pada masa sama, kata Mahfuz beliau cuba mengajak PAS untuk kembali bersama pakatan pembangkang dalam HARAPAN.
"Itu harapan saya dan ahli-ahli iaitu supaya PAS tak terasing daripada arus politik perdana,” katanya.
Mengulas lanjut Mahfuz yang turut pernah dipilih anggota parti sebagai naib presiden mereka turut menegur Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang kini menjadi naib presiden pula.
Katanya kenyataan Mohd Amar bahawa PAS akan meletakkan calon di mana-mana kerusi yang kini diwakili PKR atau DAP hanya akan merugikan parti terbabit.
"Saya rasa tak wajar Mohd Amar kata PAS akan lawan di kerusi pembangkang.
"Itu akan membina persepsi bahawa PAS itu angkuh dan menolak perundingan. Ini tidak baik dan hanya akan menjauhkan orang ramai," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA