Jumaat, 14 Julai 2017

SEMUA SUDAH SELESAI, APA LAGI KITA MAHU?

KENYATAAN MEDIA MAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN
13 JULAI 2017

Menyedari bahawa rakyat mengharapkan perubahan politik negara ke arah pemerintahan yang lebih demokratik, adil dan sejahtera serta sebuah kerajaan yang komited untuk melaksanakan reformasi institusi, menjalankan tadbirurus yang baik dan mengutamakan kebajikan rakyat; dan
 
Menginsafi bahawa Malaysia di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional sedang berada di dalam keadaan krisis yang tenat, terpalit dengan skandal rasuah dan salah guna kuasa yang amat luar biasa, dan rakyat menanggung beban;

Maka, Pakatan Harapan mengambil tanggungjawab untuk membela rakyat dan membina semula negara yang dirosakkan oleh pentadbiran Dato Sri Najib Tun Razak.  Melalui kesatuan politik di antara KEADILAN, DAP, AMANAH dan PPBM, kami akan menggembleng seluruh kekuatan rakyat untuk memenangi pilihanraya umum ke-14 dan membentuk kerajaan.

Oleh yang demikian, Pakatan Harapan mendokong matlamat-matlamat berikut:

1) Menurunkan kerajaan pimpinan kleptokrat yang diketuai oleh Dato Seri Najib Tun Razak;

2) Memulihkan kedaulatan dan keluhuran undang-undang seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia;

3) Membatalkan dan memperbetulkan semua tindakan yang melanggar undang-undang dan menggadaikan kepentingan rakyat di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib termasuk mendapatkan kembali wang rakyat yang hilang melalui skandal besar seperti 1MDB;

4) Membebaskan semua tahanan politik dan menggugurkan semua dakwaan politik;

5) Reformasi undang-undang dan institusi yang telah disalahgunakan terutamanya berhubung kuasa Perdana Menteri; dan

6) Menghadkan penggal perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja.

Sebagai tanda kesatuan politik yang lebih jitu, segar dan dinamik, Majlis Presiden Pakatan Harapan bersetuju menerima struktur kepimpinan Pakatan Harapan yang baharu iaitu:

Ketua Umum:
Dato’ Seri Anwar Ibrahim

Pengerusi:
Tun Dr Mahathir Mohamad

Presiden:
YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Timbalan-Timbalan Presiden:
YB Tan Sri Muhyiddin Yassin
YAB Lim Guan Eng
Tuan Haji Mohamad Sabu

Naib- Naib Presiden:
YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali
YB Dato’ Seri Mukhriz Mahathir
YB Chong Chieng Jen
Tuan Haji Salahuddin Ayub

Ketua Setiausaha:
Datuk Saifuddin Abdullah

Bendahari:
YB M. Kula Segaran
  
Sejurus mendapat mandat rakyat dalam PRU-14, dalam tempoh 100 hari pertama setelah membentuk kerajaan, Pakatan Harapan komited untuk melaksanakan perkara-perkara berikut:

• Menghapuskan GST;
• Menstabilkan harga petrol;
• Memberi fokus kepada usaha meringankan beban rakyat;
• Memulakan proses reformasi institusi secara menyeluruh;
• Memerangi rasuah hingga ke akar umbi;
• Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja Skandal 1MDB; dan
• Memulihkan FELDA.

Pakatan Harapan memberi komitmen bahawa proses memohon pengampunan dan pembebasan Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan dimulakan dalam tempoh seminggu selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan. 

Permohonan yang dikemukakan mengikut proses undang-undang ini, dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, akan membolehkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim kembali mengambil bahagian semula dalam politik negara sepenuhnya.


Ditandatangani oleh:

YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad
Pengerusi PPBM

YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN

YB Tan Sri Muhyiddin Yassin
Presiden PPBM

YB Tan Kok Wai
Pemangku Pengerusi DAP

YBhg Tn Hj Mohamad Sabu
Presiden AMANAH

Semua keraguan, tanda tanya dan permasalahan yang selama ini membelenggu Pakatan Harapan kini sudah pun berakhir. Struktur kepimpinan dan logo yang akan digunakan untuk menentang UMNO dan BN tidak lagi menjadi masalah, hanya menunggu masa saja untuk didaftarkan.

Melihat barisan kepimpinan dan logo Pakatan Harapan, ternyata memang ada "ummppphh"  dan bakal menggerunkan Najib Razak serta seluruh kepimpinan UMNO dan BN.

Tun Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim sekarang secara sah kembali berganding bahu. Bahkan dengan menjadi Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Mahathir adalah panglima di medan perjuangan sementara Anwar sebagai Ketua Umum akan merangka idea serta strategi tambahan daripada dalam penjara.


Jika dulu ketika bersama dalam kerajaan, mereka melakukannya untuk memaju dan membina negara, kini gandingan itu muncul kembali untuk menumpaskan kleptoktasi dan menyelamatkan negara.

Barisan kepimpinan Pakatan Harapan inilah yang akan pergi menjelajah ke seluruh negara, bukan saja untuk mencetuskan tsunami Melayu, Cina atau India ke arah perubahan, tetapi juga tsunami rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Selain struktur kepimpinan dan logo yang tidak lagi menjadi masalah, dalam PRU 14 akan datang, pengundi dan rakyat Malaysia juga jelas ada pilihan yang lebih terbuka dan terbentang terang di depan mata.

Jika mahu GST dihapuskan dan harga petrol yang lebih stabil, pilih dan undilah Pakatan Harapan. Sebaliknya kalau mahu GST terus mencengkam dan kenaikan petrol yang sentiasa membebankan, kekalkanlah Najib, UMNO dan BN.

Jika mahu skandal 1MDB dapat dirungkai dan wang berbilion yang hilang dikembalikan, penyelesaiannya adalah Pakatan Harapan. Kalau mahu kemungkinan wang negara terus hilang lagi dan lagi serta  tiada apa-apa tindakan dilakukan, pilihlah lagi UMNO dan BN.

Malah, enam matlamat Pakatan Harapan yang digariskan bersama adalah tanda-tanda dan iltizam ke arah reformasi dan bermulanya tiupan angin harapan yang memberi kebaikan kepada seluruh rakyat jelata sebaik UMNO dan BN dapat ditumbangkan.

Akhirnya, kitalah yang harus pintar membuat pilihan. Jika sepanjang 22 tahun berkuasa dulu, Tun Mahathir beberapa kali bertindak bijak dan menakjubkan dalam menyelamatkan negara, sudah tentu kita sebagai rakyat yang waras lebih meyakini beliau mampu melakukan sekali lagi kali ini  bersama gandingan yang mantap dalam kepimpinan Pakatan Harapan.

Dibandingkan dengan Najib yang hanya tahu menjual, menjual dan menjual, kekalnya beliau berkuasa lagi tentu saja lebih menakutkan kita dan generasi yang seterusnya.

Maka, kepada pengundi yang bakal membuat pilihan, setelah terbentuknya barisan kepimpinan yang terbaik, logo yang menarik dan komitmen 100 hari yang seharusnya membuatkan kita lebih celik - apa lagi yang kita mahu dalam meyakini dan menuju perubahan yang akan menjadi kenyataan nanti?

4 ulasan:

  1. Cantik...
    Harap rakyat menyokong PH
    Untuk masa depan baru malaysia

    BalasPadam
  2. Inilah kumpulan melayu alternatif, bukan DAP, yg akan perintah malaysia jk BN ditumpas. Jk umno/BN tewas dan dibenamkan, melayu islam inilah yg akan perintah malaysia. Inilah mesej yg perlu disampaikan kpd melayu yg masih ragu2 dan bimbang krn diperdaya oleh tohmahan umno dan geng hj hadi dlm pas

    BalasPadam
  3. Bn dh rasa bahang ketakutan. Klu nk tau bahangnya, ko tggu tv3 mlm ni. Byk serangan demi serangan. Bab sukan dn berita luar negeri akn dpendekan shgga pru. Mmg sengal

    BalasPadam
  4. PH kena betul2 berhati2 mulai skrg. Umno/BN dah ketakutan, jd dia akan mula serang dgn serius. PH kena kenalpasti dimana dia punya weakest point krn di situ mrk akan serang. Waspada, semua pakar strategis PH

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA