Selasa, 18 Julai 2017

SELANGOR DIGESA JANGAN SAMPAI HILANG MOMENTUM PAKATAN HARAPAN

CERAMAH kedua Pakatan Harapan (PH) di Shah Alam semalam dalam program jelajah seluruh negara mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mempamerkan tenaga dan perpaduan terbaik pakatan itu dalam usaha menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
Ketika menghuraikan isu yang sangat kompleks, iaitu 1MDB mereka saling cuit mencuit dan bergurau senda dalam menyampaikan mesej masing-masing menyebabkan penonton amat senang dan ceria.
Namun di sebalik keceriaan dan tenaga yang ditunjukkan, penyokong PH yang ditemui menyatakan rasa bimbang mereka terhadap momentum dan sokongan, terutamanya selepas pengumuman barisan kepimpinan PH yang diketuai Dr Mahathir Mohamad.
“Momentum ini perlu dikekalkan di seluruh negara dan pastikan tidak ada yang cuba lari dari laluan kesepakatan ini khasnya di Selangor,” kata penyokong PH dari Ampang, Mohamad Hafizul Rahman ketika ditemui selepas ceramah PH malam tadi.
Beliau merujuk kepada ketidakseragaman tindakan yang berlaku di Selangor sekarang apabila pimpinan negeri itu khasnya dari PKR yang masih mahu bersama dengan PAS ketika pucuk pimpinan utama parti dalam PH dilihat sangat kompak.
Hafizul berkata pimpinan Selangor khasnya menteri besar Mohamed Azmin Ali perlu bertegas untuk bersama-sama dengan momentum yang ditunjukkan malam tadi di kalangan pimpinan Bersatu, DAP, Amanah dan juga PKR.
“Saya bimbang jika Azmin masih teragak-agak dan membuat tindakan yang bukan-bukan beliau akan tertinggal nanti,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Azmin dan penyokong dilihat masih teragak-agak sama ada mahu bersama dengan PH atau bersama dengan PAS ketika parti itu secara terang-terangan menolak PKR dalam muktamar mereka dan disahkan Majlis Syura Ulamak, badan tertinggi dalam PAS.
Malam tadi Dr Mahathir Mohamad, Mohamad Sabu, Lim Kit Siang, Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli berkongsi pentas ceramah PH di Shah Alam dalam majlis penerangan isu skandal 1MDB yang dipengerusikan Ahli Parlimen Shah Alam juga Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad.
Ia program pertama di Selangor selepas pembentukan rasmi barisan kepimpinan PH yang menyaksikan Anwar Ibrahim dilantik sebagai Ketua Umum, Dr Mahathir sebagai pengerusi dan Wan Azizah Ismail sebagai presiden gabungan PH itu.

Sorakan dan tepukan penonton menyambut ucapan pemimpin PH membayangkan keyakinan besar mereka terhadap gabungan itu.
Bekas yang dipertua PAS Subang Mesni Dahlan yang turut serta dalam ceramah itu berkata sokongan terhadap PAS terhakis hari demi hari terutama selepas pembentukan barisan kepimpinan rasmi PH pada 14 Julai lepas.
“Ramai penyokong PAS sudah lari sekarang. Yang tinggal beberapa kerat ustaz yang mengambil alih pucuk pimpinan PAS saja,” katanya ketika ditemui selepas ceramah itu.
Seorang bekas hakim mahkamah rayuan yang turut serta dalam ceramah ini juga yakin PH kini berpeluang besar untuk mengambil alih pentadbiran negara dalam pilihan raya umum akan datang.
“Saya melihat peluang sangat cerah untuk PH mengambil alih pentadbiran negara berdasarkan apa yang ditunjukkan malam ini,” katanya.
Beliau berkata penjelasan diberikan sangat jelas tentang skandal 1MDB ini dan apa yang perlu dilakukan sekarang adalah memastikan mesej malam tadi sampai ke segenap pengundi khasnya di luar bandar.

1 ulasan:

  1. Azmin harus peka dengan gelombang PH. PAS dah tak rekevan lagi kat Selangor. Kami tak faham apa stategy Azmin. Tunggu dan lihat....

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA