Ahad, 23 Julai 2017

Sebar segera polisi harian rakyat, isu 1MDB tidak ramai peduli


Momentum Pakatan Harapan (Harapan) menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang semakin hampir perlu segera disusuli tawaran polisi berkaitan penyelesaian masalah harian rakyat, kata Penyelaras sekretariat Bersih, Mandeep Singh Karpal.
Menurutnya, skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilihat masih belum lagi 'menjentik' kesedaran majoriti pengundi yang rata-rata lebih terpukul dengan isu semasa terutama peningkatan kos sara hidup.
"Seluruh jentera dan pemimpin Pakatan Harapan harus membentangkan polisi jika diberi mandat ke Putrajaya yang bersifat jangka pendek dan panjang.
Mandeep Singh"Harus diingat 'tsunami' pengundi pada 2008 dan 2013 sukar untuk berulang pada pilihan raya umum akan datang jika polisi berkaitan kepentingan majoriti rakyat masih lagi samar-samar.
"Saya melihat sebahagian pengundi sudah letih dan bosan tidak seperti PRU sebelum ini apabila rakyat ketika itu memang mahu menggantikan rejim sedia ada.
"Isu 1MDB penting tetapi terimalah hakikat itu hanya menarik perhatian sekumpulan pengundi sahaja. Isu harian seperti kenaikan harga barang, perumahan dan peluang kerja paling diberi perhatian.
"Jadi, polisi berkaitan itu semua harus cepat disebarkan," katanya ketika ditemui Malaysia Dateline sebagai pemerhati dalam Konvensyen Pemuda Amanah Selangor di Bangi semalam.
Ditanya tentang struktur kepimpinan Harapan, Mandeep menyifatkan Harapan tidak harus bergantung pada pengaruh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir semata-mata.
"Boleh buat ceramah dan siri jelajah sebanyak yang mungkin tetapi kita tidak boleh membawa seorang yang berumur 92 tahun (Tun Mahathir) untuk semua kawasan.
"Dari segi kepimpinan Pakatan Harapan sudah ada. Janji 100 hari pun sudah bagus tetapi daripada segi kesepaduan secara keseluruhan menuju ke pilihan raya masih samar-samar.
"Rakyat muak dengan situasi politik pada masa sekarang. Jangan hal itu akan menghukum Pakatan Harapan. Itu sebab, paling penting sekarang dapatkan kembali keyakinan pengundi untuk Pakatan Harapan.

"Dulu ada (dokumen) Buku Jingga, dan bagi saya dasar pada tawaran yang ada itu sudah elok cuma perlu ditambah baik sesuai dengan situasi semasa," sarannya.
Mandeep menambah tawaran polisi Pakatan Harapan berkaitan kepentingan segenap segmen masyarakat juga tidak harus bersifat elitis selain pada masa pentingnya pertelingkahan kepimpinan ditamatkan.
"Guna bahasa mudah dan merakyat. Terangkan kepada bakal pengundi tentang polisi jangka pendek dan panjang Pakatan Harapan. Hentikan perbalahan dalaman.
"Selagi tidak tunjukkan kesatuan di kalangan pemimpin Pakatan Harapan, rakyat akan menghukum di peti undi dan jangan tekejut Pakatan Harapan boleh kecundang di Selangor," tegasnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA