Ahad, 2 Julai 2017

Saya bimbang dengan sikap orang Melayu, kata Pak Samad


Saya bimbang dengan sikap orang Melayu, kata Pak Samad
Sasterawan Negara A. Samad Said melahirkan keprihatinannya dengan sikap orang Melayu sukar melihat kebenaran sebagai kebenaran dan mudah melupakan apa yang diambil daripada mereka.
SASTERAWAN Negara A. Samad Said semalam menyuarakan kekecewaannya terhadap orang Melayu yang "tidak melihat kebenaran sebagai kebenaran", sambil menambah sikap bangsanya ini membimbangkannya.
Penulis novel, penyair dan ahli DAP yang berusia 83 tahun itu berkata, beliau tidak bimbang dengan orang Cina dan India yang dengan pantas dapat melihat apa yang palsu dan benar, tetapi ia tidak sama dengan orang Melayu.
"Saya tidak bimbang tentang orang Cina dan India, mereka boleh tahu apa yang baik dan buruk, dan benar dan salah, dengan cepat.
"Tetapi dengan orang Melayu, saya sangat prihatin. Orang Melayu tidak melihat kebenaran sebagai kebenaran, mereka melihat kebenaran sebagai apa yang mereka peroleh.
"Jangan biarkan beberapa ringgit menyebabkan kita melupakan apa yang diambil daripada poket kita sendiri. Kita tidak perlu hanya mengingati apa yang diberikan dan melupakan apa yang diambil daripada kita.
"Ini adalah kesilapan kita, sikap ini sukar untuk diperbetulkan, jika kita tidak sedar dari situ, kita tak akan ke mana dan menjadi hamba kepada orang Melayu (lain)," katanya dalam ucapan di Rumah Terbuka DAP Pulau Pinang, di Nibong Tebal semalam.
Kenyataan Samad itu tepat pada masanya ketika skandal melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan saman sivil yang difailkan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) untuk merampas aset yang dibeli menggunakan wang yang didakwa dicuri daripada firma pelaburan negara itu, kembali menjadi tajuk utama.
Pemimpin Umno dan PAS cepat menolak skandal itu dengan alasan pihak berkuasa Malaysia tidak menemui sebarang kesalahan. Mereka juga menolak saman DoJ, mendakwa ia adalah percubaan untuk "masuk campur" ke dalam hal ehwal Malaysia.
Saman sivil terbaru DoJ adalah untuk merampas aset bernilai AS$540 juta (RM2.3 bilion) yang dipercayai disedut daripada 1MDB.
Bagaimanapun, pembangkang berpendapat rakyat Malaysia akan terpaksa menanggung kos daripada skandal ini.
Samad yang juga dikenali sebagai Pak Samad, kemudian merujuk kepada kerajaan Selangor dan Pulau Pinang yang diperintah pembangkang.
"Jika orang meneliti kedua-dua pentadbiran, mereka akan melihat kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjaga kebajikan rakyat," katanya.
"Tidak ada defisit yang dicatatkan di negeri ini, mereka berbelanja mengikut cara mereka dan mengembalikannya semula kepada rakyat.

"Saya fikir ini tidak dapat dirasai orang Melayu, kami percaya kepada pemimpin yang tidak sepatutnya kami percayai, dan kami tertarik dengan wang yang sebenarnya dicuri."
Beliau juga berkata walaupun betul DAP adalah parti berasaskan Cina, lebih banyak orang Melayu menerima parti itu, sambil menambah parti itu cuba menjadikan Malaysia lebih baik untuk semua.
"Pada masa lalu, ia dilihat sebagai parti Cina yang tidak dapat mendapat sokongan orang Melayu, tetapi keadaan sedang berubah," kata Pak Samad.
Beliau juga menyatakan kekecewaannya di mana pemimpin Melayu masih menggunakan isu perkauman apabila mereka terdesak.
"Selepas 60 tahun merdeka, kita harus melupakannya sekarang," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA