Khamis, 13 Julai 2017

Saman Fitnah: Jamal tak muncul di mahkamah, Yeo gesa tampil

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damansara Utama Yeo Bee Yin mendesak ketua bahagian Umno Sungai Besar Jamal Md Yunos menjawab saman RM5 juta terhadapnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini ketika pengurusan kes pertama terhadap saman yang difailkan pada 14 Julai lepas.
“Dia perlu datang ke mahkamah dan failkan pembelaannya.
“Biarlah perbicaraan diadakan supaya saya dapat bersihkan nama saya,” kata Yeo.
Saman itu dibuat selepas Jamal dilapor mendakwa beliau menyalahgunakan dana kerajaan Selangor berkaitan Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Peguam Yeo, SN Nair berkata penolong pendaftar kanan mahkamah Rumaizah Baharom menetapkan 3 Ogos ini untuk pengurusan kes.
“Jika dia (Jamal) tidak muncul (3 Ogos nanti), kami akan mohon penghakiman ingkar,” katanya.
Beliau juga berkata tiada sebarang respon daripada peguam Jamal setakat ini.
Ketika dihubungi, Jamal berkata tidak pernah menerima sebarang dokumen rasmi berkaitan saman itu atau mengetahui tentang prosiding itu.
Katanya beliau hanya mendengarnya daripada media sosial dan berita sahaja.

Jamal juga berkata sudah tentu akan hadir ke mahkamah jika keadaan sebaliknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA