Jumaat, 7 Julai 2017

Saman DoJ: Ahli MT Umno mahu bela PM tapi jahil undang-undang



Pemuda Amanah Nasional mengingatkan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Ab Aziz Kaprawi (gambar) supaya mendapatkan nasihat daripada mana-mana peguam di negara ini sebelum membela Perdana Menteri berhubung isu saman sivil oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat.
Timbalannya, Faiz Fadzil berkata, tindakan itu perlu bagi mengelak Aziz memberikan komen yang boleh mengelirukan rakyat.
Abdul Aziz Kaprawi
"Seharusnya, Datuk Aziz mendapatkan nasihat daripada mana-mana peguam di negara ini yang jumlahnya melebihi 12,000 orang bagi mendapatkan nasihat sebelum membela Perdana Menteri yang diakui sebagai MO1 oleh Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan.
"Saya yakin jika beliau mendapat nasihat yang baik, sudah pasti beliau akan menasihatkan 1MDB, Perdana Menteri, isteri MO1 dan Peguam Negara bagi pihak Kerajaan Malaysia memfailkan permohonan mencelah dan mencabar segala dakwaan saman tersebut," katanya.
Beliau berkata, nasihat yang baik juga membolehkan sebanyak mungkin keterangan dan saksi disediakan bagi menyangkal keterangan yang bakal dibawa DOJ.
"Secara prinsipalnya, DoJ tidak akan mampu memfailkan saman tersebut yang sarat dengan fakta tanpa memiliki bukti dan keterangan yang sahih dan kredibel," ujarnya.
Terdahulu, Aziz dilapor menganggap saman sivil oleh DoJ sebagai janggal kerana difailkan tanpa mendapat maklumat tepat kerana tidak memanggil Presiden 1MDB, Arul Kanda memberikan keterangan, menunjukkan kejahilan Datuk Aziz berkaitan prosedur undang-undang.
Mengulas lanjut, Faiz menjelaskan pihak yang didakwa harus memfailkan penyata pembelaan seperti mengikut amalan prosedur sivil bagi menjawab segala dakwaan yang terkandung di dalam 251 muka surat saman itu.
"Pihak ketiga yang terkilan (aggrieved) atau mempunyai kepentingan dalam saman tersebut pula seharusnya memfailkan permohonan mencelah (intervener) untuk mempertahankan hak atau menyangkal dakwaan dalam saman tersebut.
"Pihak pencelah pula seterusnya akan memfailkan penyata pembelaan bagi manjawab dakwaan saman tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut peguam itu, hanya setelah prosedur tersebut dipenuhi, satu perbicaraan akan ditetapkan apabila DoJ akan mengemukakan keterangan dan saksi bagi membuktikan segala dakwaan dalam saman tersebut.
"Di sinilah jelas kejahilan Datuk Aziz dan mana-mana individu yang mempertikaikan kesahihan saman tersebut dan nilai keterangan yang dimiliki DoJ.
"Tunggulah hari perbicaraan di mana kesemua keterangan dan saksi akan dipanggil dan memandangkan saman tersebut pun sudah menjangkau 251 mukasurat yang sarat dengan fakta yang begitu jelas dan probabel, sudah pasti lebih daripada dua saksi akan dipanggil memberikan keterangan," ujarnya.

Pada masa sama, Faiz menyifatkan Aziz harus menasihatkan Perdana Menteri, isteri MO1, Arul Kanda, Jho Low dan Riza Aziz untuk pergi ke Amerika Syarikat bertemu dengan pihak DoJ untuk memberikan keterangan sebagai sebahagian daripada prosedur undang-undang jenayah.
Menurutnya, tindakan DoJ adalah di bawah undang-undang jenayah pengubahan wang haram yang disebut sebagai 'Title 18 Section 981 of the US Code'.
"Saya juga yakin pihak DoJ tidak akan menangkap mereka kerana kehadiran untuk memberikan keterangan adalah sebahagian proses penyiasatan kes jenayah.
"Mereka pasti disanjung oleh rakyat Malaysia kerana mempertahankan maruah negara ini yang tercemar teruk akibat pendedahan dalam saman tersebut," tambahnya lagi.

1 ulasan:

  1. Kami bukan jahil tetapi WALA' kepada pemimpin.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA