Ahad, 9 Julai 2017

Rumah Terbuka PAS


Oleh Mohd Sayuti Omar
Tidak pasti sudah berapa tahun saya tidak hadir ke rumah terbuka parti agama (Pas). Mungkin dua atau tiga tahun atau lebih. Terakhir saya hadir ialah ketika rumah terbuka diadakan di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru. Majlis hari itu sungguh meriah dan hangat padang terbuka di kelab berkenaan penuh sesak.

Selepas itu saya tidak menghadirinya lagi, sama ada terlepas atau tidak terperasaan. Apa lagi dua tahun ketika saya keuzuran (2015 - 2016) ditambah pula meletusnya kemelut dalam Pas, perbalahan dan perpecahan ia tidak memberi kesempatan dan mengurangkan minat saya untuk hadir. Kecewa dan sedih dengan apa yang berlaku.

Alhamdulilah tahun ini, saya menyempatkan diri untuk hadir. Kehadiran saya ke majlis rumah terbuka Pas kali ini istimewa, kerana ia satu-satu rumah terbuka anjuran parti politik yang saya hadir. Ketika Parti Amanah Negara (Amanah) mengadakan rumah terbuka nasionalnya di Kota Bharu saya tidak hadir kerana tergesa-gesa ke Sitiawan untuk menziarahi cucunda.

Antara tetamu di rumah terbuka Pas.
Ada dua tiga sebab kenapa teringin untuk hadir, meskinpun ia diadakan jauh dari Kuala Lumpur. Oh ya tahun lalu rumah terbuka Pas diadakan di Kedah. Mungkin perubahan venue itu satu pembaharuan bagi Pas, membawa rumah terbukanya ke seluruh negeri untuk memberi peluang kepada penyokongnya di serata tempat merasai suasana Aidifitrinya.

Harapnya perubahan venue itu bukan kerana Pas tidak yakin rumah terbukanya dikunjungi ramai kalau diadakan di Kuala Lumpur kerana parti itu baharu tenang diganggu ombak perpecahan. Ada juga mengatakan langkah Pas membawa rumah terbuka di luar ibu kota itu sebagai berpatah balik ke belakang? Terserah kepada persepsi masing-masing.

Kalau diadakan di Kuala Lumpur, biasanya di Taman Melewar, pasti yang dapat hadir mereka di sekitar Kuala Lumpur sahaja. Jadi perubahan lokasi majlis itu bagi memberi peluang kepada ahli dan penyokong yang berada di luar ibu kota. Mungkin ini juga termasuk dalam "pembaharuan pendekatan" parti ini yang mengagaskan slongan Politik Matang dan Sejahtra (PMDS).

Perkara kedua kenapa saya hadir hari ini (semalam), adalah untuk berjumpa dengan pimpinan Pas yang hampir separuh saya mengenalinya dan menjadi rakan dan sahabat saya. Teringin sekali saya untuk berjumpa dan berhari raya dengan presiden Abdul Hadi Awang terutamanya.

Lama saya tidak bersua dan berjabat tangannya dengan. Kali terakhir saya melihat beliau dari dekat tanpa salam ialah semasa beliau hadir di himpunan kemanusiaan Rohingya di Taman Tasik Titiwangsa. Saya melihat beliau "bersanding" dengan Najib Razak di pentas khas penuh kecemburuan. Beliau diberitakan tidak dapat hadir di rumah terbuka kali kerana masih berada dalam tempoh perihatan yang dinasihatkan doktor. Didoakan semoga beliau lekas sembuh.

Alasan lain kenapa saya hadir ialah kerna saya dijemput. Ini penting. Saya mendapat undangan daripada Setiausaha Agung, Takiyuddin Hassan, juga daripada Ketua Penerangan Nasaruddin Hassan Tantwi. Jemputan dan undangan itu makin menarik saya untuk menghadirinya. Jemputan itu adalah salam Aidifitri terindah dari dua orang kawan dan yang saya anggap adik yang kini berada dalam hirerki tertinggi Pas. Jemputan itu menjadi tali pengikat kasih antara kami.

Quraan lama.

Dua hari sebelum itu saya ada menghubungi Mustapa Ali, bertanya mengenai rumah terbuka itu. Beliau menjelaskan beliau tidak hadir kerana pada tarikh itu (hari ini) beliau ada urusan lain di Kuala Lumpur. Saya berhajat juga untuk berjumpa dengannya, memandang beliaulah antara empat atau lima veteran Pas yang sudah expire masih ada dalam Pas. Sebagai orang lama dalam Pas dan mengenalinya sejak tahun 1978, banyak perkara yang dapat dicungkil darinya. Opportunis dan diplomcy politik sangat tinggi nilainya.

Pelantikannya sebagai lembaga penasihat Pas -- sebuah badan baharu dibentuk, dilihat mengembalikan dia ke makam sepatutnya dan memberi fungsinya dalam Pas selepas beliau tidak dikekalkan sebagai eksekutif Pas, sebagai Pengarah Pilihan Raya Pas atau pun Setiausaha Agung. Harapnya pelantikan dan perwujudan lembaga itu tidak menjadi sebuah Quran lama yang dibungkus dengan kain kuning dan tersimpan di rak sahaja.

Jawaban dari beliau itu sedikit meralatkan saya; tidak seharusnya pemimpin veteran seperti beliau menuangi majlis sebegitu. Timbul juga sedikit kemusykilan di kapala saya kenapa majlis sepenting itu beliau hendak meninggalkannya? Tanpa kehadirannya ia akan membuka tanggapan negatif kepada Pas.

Dengan perkembangan dan suasana (tragedi) berlaku dalam Pas, mulanya menyebabkan saya terfikir dengan siapa untuk saya ke sana. Kebetulan isteri yang akhir-akhir ini menjadi kian intim ke mana-mana sahaja, ada urusan lain di rumah anak, justeru pemergian bersamanya ternoda.

Ia menjadi masalah kerana, kawan menjadi regu untuk menghadiri apa-apa majlis Pas selama ini sudah jadi Amanah. Jadi kalau diajak juga tidak pantas rasanya. Mereka tentu kekok untuk hadir, walhal tidak begitu sepatutnya. Majlis hari raya, rumah terbuka sepatutnya ia bebas untuk dikunjungi sesiapa sahaja tanpa ada apa-apa sentimen lain hatta undangan rasmi sekalipun.

Namun pertukaran warna bagi mereka, dan fahaman politik yang penuh sentimen, marah dan dendam tidak memantaskan dan manis untuk mereka berada di rumah terbuka Pas. Di sinilah kelebihan yang ada kepada saya yang tidak terikat dan terpahat dengan partisan. Saya mempunyai kebebasan kerana tidak pernah mengecapkan diri saya dengan sebarang warna parti. Saya berparti dalam hati. Maka saya merdeka untuk ke mana sahaja tanpa mempedulikan apa yang orang kata. Saya adalah saya kekal dengan jatidiri tanpa peduli apa orang gelar.

Dalam tercari-cari rakan itu, nasib baik, sdr Roslan Shahir Mohd Shair (Roslan SMS), sudi untuk bersama saya. Mulanya beliau minta maaf tidak dapat ke Kerdau kerana kebetulan ada program lain waktu sama. Permisi darinya itu sedikit meralatkan saya dan saya terpaksa mencari ikhtiar lain kerana saya sudah berjanji untuk menghadir rumah terbuka itu atas tujuan saya katakan tadi.

Alhamdulilah, sekejap kemudian beliau memberi tahu saya, beliau dapat ke Kerdau kerana membatalkan program yang satu lagi. Saya faham pembatalan itu demi saya. Barang kali di sini harga simpati dan kasih seorang bernama sahabat yang kini kembali aktif semula dalam Pas apabila dilantik menjadi Timbalan Ketua Penerangan Pas Pusat dan juga Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor. Kedudukannya sedikit pun tidak pernah menjejaskan persahabatan kami walaupun saya agak vokal mengkritik parti gemula Chik.

Jam 12:55 tengah hari Roslan tiba di rumah bersama pemandunya dan kami berlepas ke Kerdau. Kami juga sudah lama tidak bertemu, lebih setahun. Kali terakhirnya bertemu dengan Roslan semasa beliau menziarahi saya di HUKM bersama Nasaruddin Tantawi, selepas itu kami hanya bersapa dialam maya sahaja. Bahkan Roslan tidak mengetahui bahawa saya diuji kesakitan lebih parah (kanser limpoma) sewaktu beliau bersama Nasaruddin menziarahi saya. Beliau mengira saya hanya mejalani pembedakan membuang tonsel sahaja.

Jadi masa perjalanan hari ini (semalam) memberi ruang kepada saya untuk berbicara ralik dengannya. Banyak cerita-cerita lama dan baharu dikenang kembali, kerenggangan menjadi kami seakan tidak kecukupan mulut untuk berbicara. Perjalanan ke Kerdau menerusi LPT berjarak 123 km memakan masa lebih satu jam setengah tidak terasa walaupun kami disekat kesesakan jalan raya lebih setengah jam. Begitulah rapuhnya masa dilupakan apabila kita berada dalam keseronokan dan bahagia.

Cerita Pas Selangor dan Kelantan

Ternyata cerita mengenai perkembangan Pas Selangor menguasai tempoh perbualan kami diselangi dengan cerita perihal Pas Kelantan dan tentangan daripada Amanah. Saya mendapat input menarik daripada beliau khasnya mengenai keadaan Pas muasir ini. Secara jujur dari penceritaannya, apa saya fahami kedudukan Pas Selangor sama dengan keadaan parti-parti lain PKR dan DAP pemegang teraju kerajaan Selangor kini mereka juga sedikit kurang selesa dan cemas untuk menghadapi Piraum akan datang. "Pilihan raya kali ini sangat menarik dan menguji kesemua parti politik," begitulah celanya.

Roslan ternyata memikul tugas berat di Selangor apabila diamanahkan sebagai Pengarah Pilihanraya. Jabatan itu adalah nadi kepada Pas bagi menentukan masa depan Pas Selangor. Menerusi jabatan itu beliau akan bertanggungjawab merancang dan mengerakkan jentera pilihan raya Pas.  Apa-apa terjadi kepada Pas beliau salah seorang penanggungjawabnya. Yang pasti dan saya kira satu tugas berat kawan inilah bagaimana untuk memastikan Pas berada dalam status quo seperti sekarang ini. Umum tahu pencapaian Pas dalam Piraum lalu di Selangor adalah terbaik.

Iya tugas ini amat berat buat Roslan tetapi dengan pengalaman, keulitan serta melihat cara beliau bekerja menuruni ke segenap kawasan, di mana ada kala saya lihat beliau bukan sahaja berputar di Selangor tetapi hingga ke Terengganu, Pahang dan lain-lain, menunjukkan Roslan minat dengan tugasnya dan seorang yang rajin dan kuat bekerja.

Ini saya dapat selami semasa beliau memegang jawatan penting di Selangor sebelum ini sebagai Ketua Penerangan. Beliau mencetus beberapa idea dan perancang baharu untuk melonjakkan sokongan parti dan memberi pemahaman kepada pemimpin khasnya berhubung strategi komunikasi dan memahami isu-isu semasa serta bagaimanan menanganinya dengan mengadakan dialog dan forum-forum di mana saya pernah menjadi salah seorang penalisnya. Memang kalau Pas meletak beliau di tempat hari ini tepat.

Roslan masih menghormati saya, beliau tidak ragu-ragu untuk menceritakan hal-hal dalaman Pas, baik yang menyenangkan maupun yang kurang menyenangkan. Keterbukaan dan kepercayaan beliau diberikan kepada saya itu, bagi saya satu penghormatan tinggi buat saya. Penghormatan sama nilai dari saya kepadanya juga menyebabkan hubungan kami tidak terputus. Saya mengenali dia sebagai aktivis parti, penulis blog yang rajin dan dia menerima saya sebagai penulis, tanpa mempedulikan cercaan dan sinikal vendalisme dalam muka buku masing-masing.

Tersasar sangka.

Dalam kepala saya majlis rumah terbuka itu diadakan dikhemah padang terbuka atau bangsal sahaja. Ini kerana saya maklum mengenai markaz Pas di Kerdau itu. Saya pernah melihat dan sampai ke situ beberapa kali suatu masa dahulu, di mana keadaanya agak dhaif dan segala kemudahannya amat terhad. Namun apa yang saya bayangkan itu tersasar. Majlis itu diadakan dalam sebuah dewan besar. Makaz Pas Kerdau kini sudah bertukar menjadi kompleks yang secara tidak langsung menunjukkan kemajuan Pas di situ khasnya dan Pahang amnya. Saya yakin kompleks dalam pembinaan hampir 70% siap itu bila siap nanti ia bakal menjadi mercu tanda Pas Pahang.

Sebaik menghampiri kompleks itu, timbul sedikit ragu-ragu dalam hati dan terasa diri "kesemean" -- kesipuan. Maklumlah lama tidak menjejaki majlis besar begitu. Kritikan dan teguran saya kepada Pas juga menyebabkan kehadiran kali ini tidak menyelesakan saya. Toh, apa dibayangkan itu meleset sama sekali. Saya diterima dan dirai dengan penuh mahabbah seperti dulu-dulu juga. Ertinya para pemimpin Pas khasnya tidak menzahirkan rasa tidak senang mereka kepada saya seperti mana berlaku di kalangan para pentaksub kandati pun saya mengkritik mereka.

Roslan yang yang juga bertindak selaku tuan rumah terus membawa saya ke meja utama. Begitu melihat kemunculan saya Takiyuddin terus mempersilakan saya untuk duduk bersama Mustapa Ali yang sudah lama tiba yang sedang bersemayam dengan beberapa tetamu khas. Begitu menyedari kehadiran saya Mustapa melemparkan senyum dan kewujudannya sedikit mengejutkan saya, kerana sebelum ini beliau memberi tahu beliau tidak datang kerana ada hal lain.

Ternyata juadan bukan menjadi keutamaan, walaupun perut sudah mencerot... bertanya khabar di antara satu sama lain lebih penting. Seorang demi seorang saya bersalaman dengan pemimpin Pas, dari Tuan Ibrahim Tuan Man, Mohd Amar Amar Nik Abdullah, Idris Ahmad, serta yang lain. Dalam saya tercari-cari Nasaruddin tiba-tiba beliau datang dari belakang memeluk saya. Sejurus kemudian datang pual Nik Abdul Nik Abdul Aziz yang sejak berstatus sebagai YB itulah pertama kali bersua dengannya.

Kemesraan masih jelas dan seperti dahulu. Inilah kehebatan dan kelebihan yang ada kepada Pas. Soalan yang banyak diajukan kepada saya ialah mengenai kesihatan saya, penulisan dan gurau-guarauan selamba mencuit hati. Selain itu seperti biasa gurauan meminta supaya menulis dan melaporkan majlis itu dengan baik?

Suasana meriah dan indah itu bukan sahaja dirasakan oleh saya, tetapi oleh tetamu lain lain juga. Paling bermakna majlis terbuka Pas semalam ialah apabila ia turut sama diraikan oleh pemimpin dari Umno, PKR dan juga Bersatu (PPBM). Antara pemimpin Umno yang hadir semalam ialah Shahkar Shamsuddin, ahli Exco Pahang yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno dan Ismail Mohamad Said ahli Parlimen Kuala Krau yang juga timbalan speaker dewan rakyat.

Kehadiran mereka ini boleh dianggap sebagai mewakili MB Pahang, Adnan Yacob katanya turut sama dijemput. Bukan itu sahaja kebermakaan majlis raya itu juga ditambah dengan kehadiran pemimpin peringkat negeri dari Bersatu. Salah seorang yang saya kenali ialah Dr Faris dan Wan Mohd Shahrir Wan Haswari. Haswari dari Pahang. Turut sama hadir ialah beberapa pemimpin PKR peringkat negeri Pahang. Dr Rashid Mahmud, hadir sama ialah Prof Shaharuddin Badaruddin Naib Presiden UNESEl dan lain-lain. Bagaimanapun saya tidak diperkenalkan ada wakil dari parti-parti Blok Ketiga lain.

Kebetulan pemimpin Umno dan PKR itu juga saya mengenali terutamanya Shahkar, yang saya kenal sejak beliau menjadi wakil rakyat lagi. Sharkar ini adalah tokoh disebut-sebut bakal mengganti Adnan Yaccob. Suasana dan pemandangan semalam benar-benar mencerminkan sebuah majlis mahabbah yang indah dan cantik sekali. Terbetik dalam hati betapa majlis itu akan berseri dan indah lagi kalau ia turut sama dihadiri oleh dua parti pembangkang lain Amanah dan juga DAP. Mungkin sangat berat untuk DAP hadir dan diterima, tetapi mungkin tidak untuk Amanah.

Kekurangan itu bagi saya majlis itu semacam tidak lengkap dan cacat. Kehadiran wakil PKR dan PPBM tidak menyempurnakan majlis tanpa ada wakil dari Amanah. Ia akan sempurna dan syumul sekiranya di majlis semalam turut ada sama wakil dari Amanah. Saya semacam terbungkam sekejap, apabila ada saat dalam keseronokan itu, berbual dengan Tuan Ibrahim, Mohd Amar, Idris Ahmad, Takiyuddi dan lain-lain tiba-tiba terkenang dan teringat kepada Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Husam Musa. Dr Hatta Ramli, Ahmad Awang dan lain-lain.

Mereka inilah ketika mereka bersama Pas disaat diadakan rumah terbuka akan berdiri di pintu masuk untuk menerima dan menyambut para tetamu. Namun kali ini di Keradu orang-orang ini tidak hadir lagi. Salahkah saya kalau termengigau mereka ini suatu hari nanti akan bersama lagi. Harapnya Aidifitri mendatang lebih bermakna dan membahagiakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA