Jumaat, 14 Julai 2017

Ringgit jatuh, kos tinggi punca ibu bapa pilih pendidikan dalam negara

PARA ibu bapa di Malaysia yang berharap untuk menghantar anak-anak mereka ke luar negara untuk melanjutkan pengajian, kini terpaksa mempertimbangkan universiti tempatan atau alternatif lain selepas mengambil kira ringgit yang semakin lemah dan peningkatan kos sara hidup.
Mengikut kaji selidik HSBC Value of Education 2017 baru-baru ini, semakin kurang ibu bapa di Malaysia mempertimbangkan untuk menghantar anak mereka ke universiti luar negara berbanding  tiga tahun lalu.
Kajian itu – penyelidikan pengguna global mengenai pandangan dan tingkah laku ibu bapa terhadap pendidikan anak – mencatatkan 51% responden berkata mahu menghantar anak ke luar negara, penurunan daripada 88% yang dicatatkan dalam tinjauan serupa oleh HSBC pada 2014.
Tinjauan yang dijalankan pada Februari tahun ini dan diterbitkan pada 28 Jun, menemuramah 8,481 ibu bapa di Australia, Kanada, China, Mesir, Perancis, Hong Kong, India, Indonesia, Malaysia, Mexico, Singapura, Taiwan, Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).
Penurunan bilangan ibu bapa di sini yang berhasrat menghantar anak ke universiti luar negara sebahagian besarnya disebabkan susut nilai ringgit, jatuh hampir 23% berbanding dolar AS sejak 2014. Ini menjadikan kos tinggal dan belajar di luar negara lebih mahal.
Ekonomi global yang lemah dan peningkatan kos sara hidup di Malaysia turur menjadi faktor.
Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa bagi Pendidikan Malaysia (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim berkata, selain yuran pengajian yang boleh menelan belanja ratusan ribu ringgit, ibu bapa juga perlu menyediakan wang bagi kos sara hidup anak yang belajar di luar negara.
"Ekonomi juga tidak begitu baik dalam tempoh dua atau tiga tahun lepas, kami juga membaca laporan mengenai pemecatan dan pemberhentian pekerja," katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut freecurrencyrates.com, ringgit berada pada RM3.28 dan RM3.50 berbanding dolar AS pada 31 Disember 2013 dan 2014.
Ringgit kemudian merosot kepada RM4.29 pada 31 Disember 2015 dan menjunam RM4.48 pada 29 Disember tahun lepas. Ia bertambah baik sedikit baru-baru ini, dengan kadar RM4.30 berbanding dolar AS sekarang, jauh berbanding 2014.
Labur untuk universiti tempatan, biasiswa
Para ibu bapa dan pendidik mengatakan iklim global semasa yang menutup peluang belajar di universiti luar negara seharusnya mendorong kerajaan memberi penekanan membina institusi pendidikan tempatan.
Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkata, ia mungkin bukan perkara bijak bagi Putrajaya memotong pembiayaan bagi pendidikan tinggi pada masa sekarang apabila kos sara hidup semakin meningkat dan terdapat keperluan mengekalkan daya saing pendidikan di peringkat dunia.
"Malangnya, selama dua tahun berturut-turut mereka melakukannya. Pemotongan bajet untuk universiti bermakna (universiti) terpaksa mencari cara lain untuk menjana pendapatan.
"Akhirnya, kos akan dipindahkan kepada pelajar. Kedua, pemotongan biasiswa yang signifikan juga akan menjadikan pendidikan tinggi bertambah kurang diakses banyak keluarga di Malaysia, dan ia akan memberi kesan kepada daya saing tenaga buruh negara," kata Zairil yang juga jurucakap Parlimen DAP bagi bidang pendidikan kepada The Malaysian Insight.
Dalam Bajet 2017, kerajaan memperuntukkan RM52.4 bilion untuk pendidikan, kurang berbanding RM54.74 bilion pada 2016. Sebelum ini, belanjawan untuk pendidikan meningkat daripada RM52.7 bilion pada 2013 kepada RM56.63 pada 2015.
Perbelanjaan yang diunjurkan untuk pendidikan tinggi ialah RM12.13 bilion, pemotongan hampir 20% daripada RM13.38 bilion pada 2016. Daripada 20 universiti awam, 10 menyaksikan pemotongan  belanjawan sebanyak 10% hingga 31%, dengan Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Putra Malaysia menerima pemotongan terbesar.
Azimah daripada PAGE berkata, kurang ibu bapa berhasrat menghantar anak ke luar negara kerana semakin sukar mendapatkan biasiswa selepas kerajaan, penaja dan yayasan swasta mengurangkan biasiswa pendidikan luar negara.

"Kami tahu kerajaan memotong bajetnya di sana-sini akibat penurunan pendapatan minyak tetapi beberapa yayasan swasta juga memotong biasiswa luar negara mereka.
"Sebaliknya ramai menawarkan biasiswa dan pinjaman untuk pelajar yang belajar di dalam negara. Jadi tanggungjawab menghantar pelajar ke luar negara kini beralih kepada ibu bapa," katanya.
Tahun lepas, kerajaan dilaporkan berjaya menjimatkan RM240 juta selepas memotong 744 biasiswa luar negara di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Dalam penyusunan semula bajet yang diumumkan pada Januari tahun lepas, kerajaan memotong bajet biasiswa JPA kepada RM1.65 bilion.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said dalam jawapan bertulis Parlimen pada Mac 2016 berkata seorang pelajar yang belajar di luar negara dengan biasiswa, menelas kos antara RM38,115 dan RM277,515 setahun; manakala seorang pelajar yang belajar di dalam negara hanya menelan kos antara RM10,350 dan RM12,690.
Setiausaha Eksekutif Pendidikan dan Intelek Malaysia Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, kerajaan perlu melabur lebih banyak untuk membangunkan kualiti universiti tempatan di mana menurutnya bertambah baik sejak beberapa tahun dan harus dipersembahkan sebagai alternatif berdaya maju untuk mendapatkan pendidikan luar negara.
"Saya percaya kualiti universiti tempatan semakin baik.
"Secara peribadi, saya melihat tiada salahnya belajar di dalam negara. Sama ada kita berjaya atau tidak bergantung kepada kita, bukan di mana kita belajar," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA