Jumaat, 14 Julai 2017

Reaksi bercampur pengguna media dengan pimpinan baru PH


Reaksi bercampur pengguna media dengan pimpinan baru PH
Walaupun ramai pengguna media sosial melahirkan keterujaan dengan pengumuman barisan pemimpin Pakatan Harapan malam tadi, ada juga yang kecewa kerana sukar membayangkan gandingan Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim. 
PENGUMUMAN barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) baru yang ditunggu-tunggu, selepas beberapa bulan pertikaian dalaman, memperoleh reaksi bercampur baur dengan skeptis dan kelegaan.
Di media sosial, penyokong PH gembira melihat gabungan itu akhirnya bersetuju dengan siapa yang harus memimpin pembangkang berdepan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pengguna Facebook Md Tahir menulis: "Syabas. Satu langkah positif untuk menjatuhkan kerajaan yang tidak cekap itu!!"
Farbi Farby memuji barisan kepimpinan itu, mengatakan pemimpinnya mempunyai karisma, dan rekod cemerlang dalam mentadbir, mengurus dan membangunkan negara.
"Ini baru layak digelar dan dijadikan pemimpin, mereka bukan saja berkarisma tetapi mepunyai rekod cemerlang mentadbir negara, mengurus negara, memajukan negara, meletakkan negara di mata dunia, mereka konsisten memperjuangkan hak rakyat, mengembalikan hak rakyat dan sentiasa bersama rakyat membina semula negara...susah senang bersama rakyat..," tulisnya di Facebook.
Abdul Ghani Hassan berkata ia adalah barisan mantap, dan berharap rakyat akan memberi PH "restu" pada pilihan raya umum akan datang.
"Mantap barisan kepimpinan Harapan moga-moga dapat restu rakyat dalam PRU ke-14 nanti selamat berjuang demi rakyat Malaysia."
Lawrence Khan menulis: "Pertahanan yang mantap. Terus bersatu dan membawa kebaikan dan penghormatan kepada negara sekali lagi."
Pengerusi Bersatu dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim diumumkan sebagai pengerusi dan pemimpin de facto PH malam tadi.
Presiden PKR dan Ketua Parlimen pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden PH manakala timbalannya disandang Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir, Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen dan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub bertindak sebagai naib presiden gabungan.
Juga dalam barisan pimpinan PH yang baru adalah Ketua Sekretariat PH Saifuddin Abdullah, yang dijadikan setiausaha agung, dan Naib Pengerusi DAP M. Kula Segaran, yang kini menjadi bendahari.
Walaupun ramai yang optimistik, banyak juga tidak dapat mempercayai bagaimana Dr Mahathir dan Anwar mampu bergabung dan mempersoalkan bagaimana pembangkang dapat bekerjasama dengan bekas perdana menteri, yang mereka tentang selama bertahun-tahun.
Dr Mahathir adalah perdana menteri dari 1981 hingga 2003. Sepanjang tempoh pentadbirannya, perbezaan pendapat terhadap kerajaan tidak begitu diterima, dengan pemimpin pembangkang seperti DAP Lim Kit Siang dan mendiang Karpal Singh ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika Operasi Lalang.
Pengguna Facebook Ainn Domm berkata ramai di PH menentang "rejim Dr Mahathir" sejak awal, dan kini kecewa.
"Ramailah ahli pakatan yang awal menentang rejim Tun M merajuk..sama ada mereka membeku atau buat undi protes semasa PRU akan datang..."

Shashi Kumar berkata PH lebih buruk daripada Barisan Nasional (BN), dengan hanya seorang India dalam barisan kepimpinannya.
"Lebih teruk dari BN. India terakhir. BN pun bagi nombor 4. Kenapa Tun kena ada dalam Pakatan. Dia akan hancurkan pakatan sebab dia dari Umno."
Ahmad Mus dan Deros AB menyiarkan gambar, menunjukkan Dr Mahathir dan Anwar dengan mata lebam yang terkenal pada 1998, ketika Anwar mendakwa diserang di penjara semasa di bawah penahanan ISA.
Dr Mahathir memecat Anwar, ketika itu timbalan perdana menteri, pada 1998 yang dipenjarakan atas tuduhan rasuah dan liwat. Anwar dibebaskan pada 2004. Beliau kini menjalani hukuman selama lima tahun kerana sabitan kedua kesalahan liwat.
Pengguna media sosial Leo Leo bagaimanapun menyuarakan sokongan kepada Dr Mahathir.
"Tak payah banyak cakap...pendekkan cerita saja..Umno dan BN sekarang bukan macam dulu yang banyak membangunkan Malaysia dan rakyat..tetapi Umno dan BN sekarang jelas merosakkan nama Malaysia dan rakyat.
"Kami sebagai rakyat rindu atas perjuangan dan kepimpinan Tun M. Malin lama dibiarkan Malaysia jadi papa kedana oleh pemimpin dan kuncu-kuncunya yang korup. Jangan ingat rakyat tak sekolah, rakyat bodoh."
Bryan Seow berkata sudah dijangkakan ada pihak memberi komen negatif.
"Selagi PH fikir mereka (orang) adalah barisan terbaik, teruskanlah."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA