Khamis, 20 Julai 2017

Rafizi: Tumpu isu sara hidup jika mahu raih undi

Naib presiden PKR itu berkata tinjauan menyokong pendapat mengatakan pengundi lebih bimbangkan isu kos sara hidup dan GST daripada rasuah, 1MDB
rafizi-invoke-2
KUALA LUMPUR: Pengundi, terutamanya yang atas pagar, lebih bimbangkan isu sara hidup daripada skandal rasuah seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sebab itu perti pembangkang perlu tumpu membawa isu berkenaan, di samping ceramah mengenai 1MDB, kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.
“Kita tidak boleh terbawa-bawa dengan 1MDB. Kita mesti bawa isu yang menjejaskan rakyat dan lakukannya secara berterusan sehingga dimuktamadkan dalam manifesto pilihan raya.
“Kita mesti lakukannya bukan sahaja di ceramah yang dihadiri penyokong kita. Kita mesti tarik pengundi atas pagar, mereka yang di media sosial dan media lain, yang membaca dan mendengar apa yang diperkatakan kerajaan dan pembangkang,” katanya pada sidang media hari ini.
Rafizi sebelum itu mendedahkan penemuan tinjauan seluruh negara yang dijalankan Invoke, yang mendapati pengundi lebih bimbangkan isu yang menjejaskan kehidupan harian daripada rasuah dan dakwaan penggelapan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tinjauan mendapati 17,107 responden yang dihubungi secara rawak antara 5 Jun hingga 14 Julai. Responden terdiri daripada 11,769 Melayu (69%), 3,377 Cina (20%), 1,046 Bumiputera Sabah dan Sarawak (6%) dan 915 India (5%).
Dalam tinjauan itu, 47.7% Melayu, 29.1% Cina dan 47.6% India bimbang mengenai kos sara hidup yang meningkat kerana GST.
Sementara itu, 4% Melayu, 16.5% Cina dan 8.9% India bimbang mengenai isu ekonomi.
Tajuk lain yang menjadi perhatian responden ialah pekerjaan dan gaji. Ia dinyatakan 10.4% Melayu, 4.9% Cina dan 6.6% India.
Rasuah dan “skandal” pula sekadar menarik perhatian 13.6% Melayu, 15.1% Cina dan 9.9% India.
Bagaimanapun, penting untuk diperhatikan jawapan yang diberikan oleh responden Bumiputera Sabah dan Sarawak dimasukkan di bawah kategori “Melayu”.
Menurut Rafizi, jika mereka mempunyai kategori sendiri, mereka perlu dibahagikan kepada etnik berbeza yang menjadikan angka “begitu kecil dan tidak penting”.
Sementara itu, naib presiden PKR itu juga berkata sokongan kepada BN menurun kerana kegagalan menangani isu sara hidup rakyat.

Rafizi percaya perkembangan itu boleh memberi kelebihan kepada pembangkang, tetapi memberi amaran jangan terlalu bergantung kepada kemarahan rakyat terhadap gabungan pemerintah dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Ini kerana BN boleh mengimbangi perkara itu dengan memberikan ‘hadiah’ pilihan raya apabila mengumumkan Bajet 2018 Oktober ini, sebagai persiapan untuk pilihan raya umum akan datang.
“Kalau kamu tumpu kepada kemarahan terhadap Najib semata-mata, ketika BN memberikan hadiah, ada kemungkinan pengundi atas pagar akan pergi kepada BN,” katanya.
“Orang atas pagar cuma mahu dengar apa yang penting (untuk mereka). Kalau BN bijak, mereka akan beri wang dan ubar dasar (apabila mendekati pilihan raya).
“Jadi saya fikir PH perlu bergerak ke fasa seterusnya, iaitu memberikan penyelesaian, contohnya, bagaimana mengurangkan pekerja asing.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA