Jumaat, 7 Julai 2017

Rafizi juga terima 'manfaat' 1MDB dalam industri IPP sembang Rahman

Sesuatu yang menarik apabila Rafizi Ramli tidak mempertikaikan persoalan utama mengapa pembangkang tidak lagi membangkitkan isu perjanjian berat sebelah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) yang menguntungkan Penjana Tenaga Bebas (IPP) sejak 2013.
Ini kerana perjanjian berat sebelah ini sudah diperbetulkan melalui pelbagai polisi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak termasuk penglibatan 1MDB dalam industri IPP.
Saya ulangi bahawa penglibatan 1MDB dalam industri IPP sebelum tahun 2012 bersama usaha kerajaan telah menamatkan ‘perjanjian manis’ PPA yang direka oleh perdana menteri sebelum ini yang mentadbir selama 22 tahun dan kini bergabung tenaga dengan Pakatan dan Rafizi.
Ini adalah salah satu masalah legasi oleh pentadbiran negara lalu dan sudah diperbetulkan oleh kerajaan hari ini.
Penjimatan oleh TNB
Penyelesaian beban ini berpotensi memberi perjimatan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), kerajaan dan rakyat sebanyak RM200 bilion dalam 20 puluh tahun akan datang.
Melalui jawapannya, Rafizi mempersoalkan mengapa PPA yang lebih adil tidak memanfaatkan masyarakat melalui pengurangan kadar elektrik Malaysia.
Pada masa yang sama, Rafizi tidak menyedari kadar elektrik Malaysia adalah antara yang termurah di rantau ini.
Rafizi harus tahu kadar elektrik dikekalkan murah berikutan subsidi gas dari Petronas dan keuntungan TNB yang berkurangan, di sebalik perjanjian berat sebelah PPA itu.
Selepas dibebaskan dari beban perjanjian berat sebelah itu, TNB mencatatkan keuntungan dengan dividen yang lebih tinggi selain harga saham lebih tinggi.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Amanah Saham Bumiputra (ASB) dan Tabung Haji adalah tiga dari pemegang saham utama TNB.
Rafizi sebelum ini pernah mengakui secara terbuka, mempunyai jutaan ringgit dalam simpanan di KWSP, ASB dan Tabung Haji.
Dividen kepada Rafizi
Untuk itu, beliau tentu sekali turut menerima manfaat dari dividen diterima dari tiga tabung utama ini lantaran peningkatan keuntungan dan kenaikan harga saham TNB, selain berpuluh juta rakyat Malaysia yang turut menyimpan wang mereka dalam KWSP, ASB dan Tabung Haji.
Rafizi turut membuat kenyataan yang tidak betul dengan mengatakan subsidi Petronas kepada IPP pada masa ini adalah lebih rendah berikutan harga gas global yang rendah.
Malah carta harga gas dunia yang dikongsi Rafizi melalui blognya turut membuktikan kenyataannya tidak betul kerana ia menunjukkan harga gas stabil bagi tahun 2012, 2013 dan 2014.

Bagaimanapun, subsidi gas Petronas turut menurun pada 2013 dan 2014, dan itu menunjukkan pengurangan subsidi gas bukan hanya bersandar kepada harga gas dunia semata-mata.
Mungkin Rafizi tidak pandai membuat kajian dan tidak tahu bahawa subsidi yang diberikan pada harga dijual Petronas kepada IPP telah berkurangan secara berterusan sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan program rasisonalisasi subsidi kerajaan.
Pada 2008, harga gas dikenakan Petronas kepada IPP adalah pada RM6.40 bagi setiap MMBtu – sangat rendah berbanding harga pasaran. Selepas subsidi diperbaiki, harga itu dinaikkan secara beransur-ansur dari RM13.70 pada 2012 dan kepada RM18.20/MMBtu pada Januari 2016.
Tempias kadar elektrik
Di sebalik kenaikan tiga kali ganda pada harga gas asli yang dicaj pada IPP sejak 2009, kadar elektrik kepada pengguna tidak naik secara melampau dan ketara.
Berikutan usaha ini, Petronas berjaya menjimatkan berpuluh billion ringgit sejak 2009, satu penjimatan yang digunakan bagi memanfaatkan rakyat melalui program pembangunan dan kemajuan kerajaan.
Pada masa yang sama, TNB berterusan mencatatkan kenaikan keuntungan, membuktikan bahawa perjanjian berat sebelah IPP pada masa lalu sudah berjaya dihentikan.
Selain secara jelas bahawa Rafizi tidak membuat kajiannya secara betul sebelum membalas, adalah tidak bermakna untuk terus berdebat dengan seseorang yang sudah disahkan oleh mahkamah sebagai pakar fitnah.

DATUK SERI ABDUL RAHMAN DAHLAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA