Isnin, 31 Julai 2017

Putrajaya perlu hantar peguam pantau saman DoJ, kata DAP

PUTRAJAYA bersikap tidak bertanggungjawab kerana tidak menghantar peguam untuk memantau saman difailkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) untuk mendapatkan semula aset yang dibeli menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata ahli Parlimen DAP hari ini.
Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo berkata, ia tidak dapat diterima dan tidak memberi gambaran baik kepada negara serta menggesa Perdana Menteri Najib Razak mempertimbangkan semula keputusan itu dengan segera.
"Malaysia perlu terlibat dalam saman ini, yang melibatkan berbilion ringgit. Kes ini akan melibatkan proses di mana terdapat bukti yang boleh mengaitkan liabiliti jenayah atau sivil terhadap individu yang mempunyai kaitan dengan kes itu.
"Ia sangat tidak bertanggungjawab bagi kita untuk tidak berbuat apa-apa dalam keadaan ini," kata Gobind pada sidang akhbar di Parlimen hari ini sebagai respons kepada jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said.
Azalina berkata, Jabatan Peguam Negara tidak mempunyai rancangan menghantar peguam untuk memantau saman DoJ.
Beliau berkata kerajaan menghormati hak DoJ untuk mengambil tindakan undang-undang dalam bidang kuasa undang-undangnya.
"Dengan rasa hormat, jawapan Azalina Othman tidak masuk akal kerana peraturan undang-undang dan menghormati undang-undang Amerika Syarikat tidak menghalang kita daripada melantik peguam di sana untuk memantau prosiding bagi pihak kita," kata Gobind.
Azalina berkata tindakan saman sivil DoJ berada dalam bidang kuasa mahkamah AS. Tiada dakwaan jenayah terhadap mana-mana individu dan juga tiada keputusan mahkamah dibuat berkaitan perkara itu.
"Oleh itu, Jabatan Peguam Negara tidak mempunyai rancangan pada masa ini untuk menghantar pasukan peguam ke Amerika Syarikat sebagai pemerhati dalam prosiding sivil yang difailkan DOo," kata Azalina dalam jawapan bertulis di Parlimen pada 24 Julai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA