Selasa, 11 Julai 2017

Punca kematian Thaqif: 'mungkin betul, mungkin tidak' - Peguam


Thaqif
Pengamal undang-undang, Syahredzan Johan (gambar kanan) menganggap "mungkin ya, mungkin tidak" kematian Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi, 11, berpunca akibat kencing tikus (Leptospirosis).
Berdasarkan pengalamannya sebelum ini, beliau memberitahu, sukar untuk menerima sepenuhnya 'kenyataan rasmi' daripada pihak kerajaan berhubung kematian murid madrasah tahfiz swasta di Kota Tinggi itu pada 26 April lalu.
Syahredzan Johan"Allahyarham Thaqif meninggal sebab penyakit kencing tikus? Entahlah. Mungkin ya, mungkin tidak. Cuma melalui pengalaman aku mengamal undang-undang di Malaysia ini, aku belajar untuk jangan mudah percaya 'kenyataan rasmi' dari pihak Kerajaan.
"Bukanlah semua yang mereka kata itu tidak betul, cuma kita tidak boleh mudah terima bulat-bulat apa yang ada cop 'rasmi'," tegasnya dipetik daripada Facebook beliau.
Hal tersebut, jelasnya, dapat dilihat pada kenyataan rasmi berkaitan kematian remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah selepas ditembak anggota polis pada 2010 serta kematian A.Kugan dalam lokap setahun sebelum itu.
"Iyelah, kalau ikut 'rasmi' Allahyarham Aminulrasyid ada parang dalam kereta, dan mendiang Kugan pula mati sebab paru-paru masuk air," ujarnya lagi.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan bedah siasat terhadap Thaqif didapati berpunca daripada penyakit dan bukannya trauma atau kecederaan.
Menurutnya, proses bedah siasat bagi mengetahui sebab kematian dilakukan pada 6 petang hari yang sama kanak-kanak itu meninggal dunia.
Sementara itu, ibu Thaqif, Felda Wani Ahmad, 40, mempersoalkan tindakan pihak hospital memotong kedua-dua kaki anaknya pada 21 April lalu jika benar anaknya dijangkiti kencing tikus.
“Saya nak tanya kenapa nak potong kaki anak saya kalau kencing tikus. Kencing tikus mesti kesan awal. Paling lewat satu atau dua minggu, macam kes di Kelantan baru-baru ini.
“Saya ni cikgu, tidak payah manipulasi yang bukan-bukan. Saya memang terkilan. Daripada arwah (Thaqif) masuk hospital, doktor kata tak tahu kuman apa.
"Ini tiba-tiba beritahu kencing tikus, tak masuk akal. Saya tidak boleh terima,” katanya seperti dilapor.

Untuk rekod, kubur Thaqif digali semula pada 18 Mei lalu bagi membolehkan sampel kaki murid itu diambil untuk tujuan siasatan.
Sebelum ini, pembantu warden madrasah tahfiz yang didakwa mendera murid itu dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah sebanyak RM20,000 pada 3 Mei lalu.
Dia ditahan pada 22 April lalu berhubung siasatan terhadap dakwaan mendera Thaqif mengikut Seksyen 31(1) Akta Perlindungan Kanak-Kanak 2001.
Bagaimanapun, polis kemudian mengklasifikasikan kes kematian tersebut sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA