Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkenaan pendidikan percuma.
Pendidikan percuma jika Pakatan Harapan tawan Putrajaya “Pendidikan, termasuk pendidikan tinggi berada di bawah senarai Persekutuan di bawah Perlembagaan Persekutuan. Menurut laporan berita, beliau telah mencabar Selangor untuk melaksanakan pendidikan percuma untuk universiti milik Kerajaan Selangor, Unisel.
“Kenyataan ini sengaja hendak mengelirukan kerana menteri lebih suka berpolitik daripada membincangkan fakta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, belanjawan Kerajaan Selangor hanyalah RM3 bilion berbanding belanjawan Kerajaan Persekutuan yang mencecah RM260 bilion, walaupun Selangor menyumbang lebih daripada 20 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Ini berkait rapat dengan dasar cukai negara yang tidak memberikan pengagihan hasil secara adil. Tidak seperti di Jerman contohnya, melalui sistem Federal Financial Equalisation yang menyaksikan pembahagian cukai yang lebih efisien dan adil di antara negeri dan mencecah hampir separuh hasil kutipan cukai-cukai tertentu (cukai syarikat, cukai pendapatan dan cukai tambah nilai).
“Sekiranya menteri terasa seperti ingin menyokong usaha Pakatan Harapan untuk memberi pendidikan percuma, cadangkan kepada rakan menteri lain di peringkat kabinet untuk memperlihatkan semula pengagihan hasil di antara negeri,” katanya.
Jelasnya, pada masa ini pun, dengan belanjawan sebanyak RM3.4 bilion, Selangor berjaya mengagihkan kekayaan negeri secara adil melalui inisiatif yang pelbagai di bawah program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang menyaksikan kira-kira 40 inisiatif untuk kebajikan rakyat Selangor.
“Inisiatif-inisiatif ini termasuklah air percuma, bas percuma, WiFi percuma, skim Peduli Sihat yang memberi subsidi penjagaan kesihatan, serta subsidi untuk anak golongan berpendapatan rendah di tadika,” ujarnya.
Tambahnya dengan semua yang diberikan oleh kerajaan negeri, Idris sepatutnya bercakap berlandaskan fakta, fokus untuk mempertingkatkan semula taraf pendidikan negara dan berhentilah main politik.

“Setelah berpuluh-puluh tahun BN memerintah negara, Malaysia bagaikan semakin ke belakang, jadi kita seharusnya menghentikan arus ini.
“Jangan gadaikan masa depan anak kita dengan memilih kerajaan yang langsung tidak menghiraukan kebajikan rakyatnya,” katanya.
Terdahulu, memetik laporan sebuah portal berita, Idris berkata, pembangkang harus memulakan ikrar pilihan pendidikan percuma dengan Unisel sambil menambah universiti itu tidak akan bertahan tanpa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Idris berkata, Selangor adalah negeri terkaya di negara ini dan sepatutnya dapat menawarkan pendidikan percuma kepada pelajar Unisel.
"Mereka (pembangkang) hanya mengatakan bahawa kerana mereka mahu menghasut pelajar kami, jika mereka boleh melakukannya, mereka sepatutnya melakukannya di Unisel terlebih dahulu.
"Unisel akan ditutup jika saya tidak mengarahkan PTPTN membantu mereka," katanya kepada wakil Parlimen Pelajar 2017 yang menghadiri bengkel persiapan dan simulasi debat di Seri Kembangan semalam.