Khamis, 20 Julai 2017

PRU14: Kalau terdesak baru Mahathir 'masuk'

Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan diletakkan sebagai calon Pakatan Harapan (HARAPAN) buat masa ini, kecuali jika keadaan benar-benar terdesak.
Katanya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sendiri mempunyai ramai calon yang layak serta berpengalaman untuk diturunkan sebagai calon menghadapi BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Dr Mahathir yang juga pengerusi BERSATU berkata, setiap calon terbabit juga mempunyai kekuatan masing-masing.
"Saya belum tentukan lagi sama ada saya akan bertanding atau tidak.
"Cuma dalam keadaan terdesak saja barulah saya akan bertanding, tapi pada waktu ini tidak nampak terdesak," katanya seperti dipetik Sinar Harian di Kulim, Kedah hari ini.
Selepas menjadi perdana menteri selama 22 tahun, Dr Mahathir meletak jawatan pada 2003 dan kekal sebagai anggota Umno.
Bagaimanapun beliau kini kembali aktif dalam politik dan dilantik sebagai pengerusi HARAPAN dalam usaha pembangkang mengetepikan Datuk Seri Najib Razak dan BN dari Putrajaya.
Pembabitan itu mencetuskan khabar angin beliau akan kembali menyertai PRU, terutama mengambil kira pengaruhnya di kalangan pengundi Melayu dan penyokong Umno.
Nikmat rasa sama-sama
Bagaimanapun Dr Mahathir menyatakan rasa berat hatinya untuk menyertai semula PRU dan ia hanya dilakukan jika mendapat persetujuan semua anggota HARAPAN.
Kata Dr Mahathir, BERSATU - yang diasaskannya bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin - ditubuhkan dengan matlamat utamanya untuk membela nasib rakyat.
Justeru, katanya, penyokong HARAPAN diingatkan supaya tidak mengkhianati mana-mana calon yang dipilih pada PRU akan datang ini walaupun mungkin ada pihak yang kecewa.
"Apabila kita mula memilih calon-calon bertanding dalam pilihan raya, saya yakin ramai yang akan kecewa.

"Kalau ada tiga atau empat orang yang berminat kita tak bolehlah nak pilih semua dalam satu kawasan.
"Kita hanya pilih seorang saja, yang tak terpilih saya tahu mereka akan rasa kecewa, tapi mereka perlu sokong orang dipilih kerana mereka dipilih itu juga mahu sokongan orang yang tidak dipilih itu.
"Kalau kita tak dipilih tapi menyokong yang dipilih sebagai calon, kita akan menang, semua akan menang untuk mengecapi nikmat yang akan diperolehi.
"Kalau mereka ambil langkah sabotaj semua nikmat itu tidak akan dapat dirasai," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA