Selasa, 11 Julai 2017

‘Polotik’ Khairy Jamaluddin

Encik Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan merangkap Ketua Pemuda UMNO adalah antara ahli politik muda yang serba boleh.
Beliau bukan sahaja berkebolehan dalam bidang politik, malah kini juga berkebolehan sebagai atlet negara dalam sukan polo; setelah beberapa lama dahulu separuh rentung disalai mentari ketika menjadi pelatih Rejimen Askar Wataniah.
KJ juga mempunyai kebolehan luar biasa menarik perhatian kaum wanita, yang baru-baru ini pakat ramai mahu dicekik olehnya secara erotis, setelah mendakwa ‘daddy’ KJ ini ‘merecik hawau’. Bahasa budak-budak sekarang, entah apa-apa.
Tetapi dalam banyak-banyak kebolehan KJ yang membuat beliau begitu menyelerakan demikian ramai gadis, bukan gadis, mak budak, janda berhias dan kumpulan lelaki tertentu; kebolehan yang paling hebat ialah kemahirannya mengelak dan menyelamatkan diri.
Ketika Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mendedahkan senarai panjang aset-aset terkait dana dicuri dari 1MDB yang mahu disita dalam saman sivil terbarunya, Khairy ghaib dari radar media. Tiada sepatah pun komen daripada beliau. Khabarnya sedang membawa obor Sukan SEA masuk ke kawasan pedalaman. Maka telefon tak ada signal.
Sudah keluar hutan pun masih belum ada reaksi daripada sang ‘daddy’ ini. Ya lah, penat bergambar dengan #OOTD (outfit of the day) di musim Aidilfitri. Desakan supaya Pemuda UMNO bikin demo di Kedutaan Amerika atas campurtangan asing terhadap urusan dalam negara dalam kes 1MDB juga tidak dihiraukan.
Hanya sesudah dua minggu beraya, barulah kita melihat kembali nama Khairy Jamaluddin dilaporkan media, itu pun setelah disindir hebat oleh tidak lain Tengku Mahkota Johor, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.
Dalam tulisan yang disiarkan di laman Facebook Johor Southern Tigers, TMJ menulis tentang rintihan hatinya terhadap Malaysia, yang disifatkannya sebagai:
“… tempat di mana ahli-ahli politik mahu menjadi selebriti dan ahli sukan. Di mana seseorang yang tidak boleh menunggang kuda atau bermain polo boleh dipilih untuk mewakili negara.
“Di mana individu yang tidak menjalani latihan ketenteraan yang sebenar boleh menjadi seorang jeneral. Sebuah negara di mana institusi perlahan-lahan kehilangan identitinya.”
Lain macam sekali sindiran dalam tulisan itu. Namun KJ tidak membalas.

Apa yang dia buat ialah melancarkan serangan terhadap tiga tokoh politik yang berada di liga yang jauh lebih tinggi daripadanya: Lim Kit Siang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Khairy barangkali menyangka cubaannya itu akan dianggap sebagai ‘good try’ oleh pengurus pasukannya. Tetapi politik bukan seperti mana-mana aktiviti sukan. ‘Polotik’ Khairy ternyata tersasar jauh dari tiang gol dan melantun ke kepala sendiri.
Bukan Lim Kit Siang yang pergi bercuti dan bermewah-mewah di Bali dengan dana kerajaan. Bukan Anwar yang pakai rantai berlian merah jambu hasil duit yang dicilok dari 1MDB. Dan pastinya bukan anak Mahathir yang bikin filem The Wolf of Wall Street.
Sepatutnya gerombolan yang terkait skandal itu lah yang melingkup dan bersara dari politik. Kan?

1 ulasan:

  1. Bolehkah 'playboy' mcm kj diterima jd PM? I rest my case

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA