Khamis, 27 Julai 2017

PH kesal cadangan pindaan RUU ditolak

KUALA LUMPUR - Pembangkang kesal dengan beberapa cadangan pindaan mereka terhadap Rang Undang-Undang Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2010 ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata, antara pindaan dikemukakan beliau ialah penubuhan tribunal bagi menyelesaikan pertikaian pemandu e-hailing dan teksi dengan syarikat pemegang lesen mereka.
Parlimen "Jika pemandu disenarai hitam, mereka hanya boleh membuat aduan kepada syarikat. Ini tidak adil sebab kalau syarikat menolak aduan, mereka tak ada tempat lain nak pergi.
"Sebab itu saya cadang pindaan agar tribunal untuk pemandu e-hailing dan teksi yang lebih kurang sama dengan tribunal pengguna ditubuhkan. Malangnya jawapan diterima daripada Speaker ialah pindaan saya ditolak," katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.
Sehubungan itu, kata Kian Ming, beliau menyeru semua pemandu e-hailing dan teksi membuat desakan sama kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan menteri terlibat.
"Pertikaian pemandu dengan syarikat pemegang lesen ini mesti didengari oleh pihak ketiga yang bebas di bawah satu tribunal yang dicadangkan itu," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong turut kesal apabila cadangan pindaan agar SPAD diletakkan di bawah Kementerian Pengangkutan turut ditolak Speaker Dewan Rakyat.
"Kementerian Pengangkutan tidak ada dalam pengangkutan awam, perkara ini tidak berlaku di tempat lain hanya di Malaysia," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA