Rabu, 26 Julai 2017

PH hantar usul gesa parlimen kecam Israel tutup Masjid Al-Aqsa



Pakatan Harapan (PH) menggesa Kerajaan Malaysia memainkan peranan utama dalam mempelopori usaha di peringkat antarabangsa bagi menghentikan pencabulan umat Islam di Baitul Maqdis.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, semua pihak mesti mendesak rejim Israel supaya menghentikan penutupan Masjid Al-Aqsa dan mengembalikan semula hak umat Islam untuk beribadat dengan aman di masjid ketiga paling suci bagi umat Islam.
Kecam IsraelBeliau berkata, dengan menghalang hak umat Islam untuk beribadat di Masjid Al-Aqsa, rejim Israel secara terang-terangan telah mencabuli Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 dan Kovenan Antarabangsa Hak Sivil dan Politik 1966 yang mana Israel adalah signatori.
"Arahan penutupan Masjid Al-Aqsa oleh rejim Israel dan keganasan yang dilakukan ke atas umat Islam yang ingin menunaikan ibadat di masjid tersebut adalah satu tindakan yang amat terkutuk dan mesti dihentikan segera.
"Sebagai negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pakatan Harapan menggesa kerajaan Malaysia supaya memainkan peranan utama dalam mempelopori usaha di peringkat antarabangsa untuk menghentikan pencabulan hak umat Islam di Baitul Maqdis.
"Pakatan Harapan juga ingin menegaskan bahawa sebarang tindakan provokasi yang boleh mencetuskan pertumpahan darah di Masjid Al-Aqsa mestilah dielakkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru PH melalui Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah menghantar usul kepada Speaker di bawah Perkara 18 (1) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk membincangkan perihal Palestin yang kini sedang berhadapan dengan kekejaman Israel.
"Tindakan sewenang-wenang rejim Israel ini telah mencetuskan kemarahan umat Islam dan semua penganut agama lain yang cintakan keadilan dan kedamaian.

"Kami menggesa supaya satu tindakan kolektif diambil dengan kadar segera oleh masyarakat antarabangsa untuk menghentikan serta-merta penindasan rejim Israel ke atas umat Islam di Baitul Maqdis," katanya Wan Azizah yang juga Presiden PH.
Solat hajat untuk Palestin
Beliau juga mengajak seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam mengadakan solat hajat di seluruh negara pada hari Jumaat ini dan mengajak pelbagai kaum dan agama berkumpul di Masjid Negara selepas solat Jumaat untuk menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin.
"Atas dasar komitmen terhadap prinsip keadilan dan kedamaian sejagat, Pakatan Harapan menyatakan rasa simpati dan solidariti kami dengan umat Islam di Baitul Maqdis," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA