Sabtu, 8 Julai 2017

Persempadanan semula diteruskan, kata SPR

Mohd Hashim AbdullahSuruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan meneruskan usahanya dalam menyelesaikan urusan siasatan tempatan kali kedua persempadanan semula kawasan pilihan raya di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Selangor dalam tempoh masa yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, dipetik berkata, ini susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu lalu tidak membenarkan permohonan Kerajaan Selangor untuk menghalangnya daripada meneruskan proses siasatan tempatan kali kedua bagi persempadanan semula bahagian pilihan raya negeri-negeri Tanah Melayu.
Mahkamah hanya membenarkan permohonan kedua Kerajaan Selangor untuk menghalang SPR menyerahkan laporan persempadanan semula kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, SPR menghormati kedua-dua keputusan mahkamah dan sedia maklum bahawa laporan akhir hanya boleh diserahkan kepada Perdana Menteri selepas proses siasatan tempatan di Melaka dan Selangor diselesaikan dan kes semakan kehakiman dimuktamadkan oleh mahkamah.
"Tidak timbul persoalan bahawa SPR akan menyerahkan laporan akhir kepada Perdana Menteri tanpa memasukkan Selangor atau mana-mana negeri atau tidak mematuhi keputusan mahkamah itu.
"Jika tiada keputusan daripada mahkamah sekali pun, SPR tidak akan menyerahkan laporan akhir kepada Perdana Menteri kerana proses siasatan tempatan belum diselesaikan sepenuhnya di dua negeri iaitu Melaka dan Selangor.
"Justeru, SPR menegaskan andaian pihak tertentu bahawa dengan keputusan itu, mereka berjaya menghalang SPR menjalankan tanggungjawabnya seperti mana yang digembar-gemburkan kononnya akan memberi manfaat kepada rakyat adalah tidak tepat kerana keputusan itu hanya terhad kepada proses penyerahan laporan saja dan bukannya membabitkan proses persempadanan yang lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, portal berita melaporkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan keputusan mahkamah menerima permohonan kerajaan Selangor bagi menghalang SPR menyerahkan laporan akhir syor persempadanan semula kepada Perdana Menteri tanpa memasukkan negeri itu adalah kemenangan besar kepada Selangor dan rakyat dalam usahanya mencabar persempadanan semula negeri itu yang dilakukan SPR di mahkamah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA