Rabu, 5 Julai 2017

Perjanjian Msia 1963: Salahuddin cabar KM Sarawak dedah kos misi ke London


Salahuddin Ayub
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub mencabar Ketua Menteri Sarawak mendedahkan kos yang terpaksa ditanggung kerajaan negeri bagi misi rombongan ke London untuk mencari dan mengkaji bahan rujukan berkaitan hak negeri itu mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau dalam kenyataan hari ini tetap menegaskan tindakan kerajaan Sarawak itu dilihat terdesak bagi mendapatkan sokongan rakyat Sarawak dalam isu memperjuangkan hak tambahan daripada Kerajaan Persekutuan.
" Adalah lebih baik bagi Ketua Menteri Sarawak menumpukan perhatian kepada masalah yang dihadapi rakyat Sarawak seperti masalah tanah, kesenjangan hak-hak suku kaum, pembangunan luar bandar dan pendidikan anak-anak Sarawak.
"Usahlah memainkan sentimen semangat anti Malaysia dan perasaan rakyat Sarawak dengan mengheret mereka ke kancah sandiwara politik sedangkan masalah empirikal rakyat Sarawak tidak diselesaikan," ujarnya.
Datuk Amar Abang Johari Tun OpengBeliau menjawab balas terhadap kritikan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg terhadapnya yang mendakwa, pemimpin Amanah itu cetek pemikiran yang sekaligus mencerminkan kualiti kepimpinan pemimpin parti itu.
Ini kerana sebelum itu Salahuddin dalam kenyataannya dipetik berkata, tindakan Sarawak menghantar pasukan peguam bagi menentukan hak-hak sebenar negeri itu yang termaktub di bawah perjanjian tersebut dibimbangi akan menyebabkan campur tangan asing dalam negara ini.
Salahuddin turut mempersoalkan sama ada kerajaan negeri Sarawak akan terus menyokong BN di Semenanjung.
Tambah Salahuddin lagi, beliau berpandangan demikian kerana ujarnya, Ketua Menteri Sarawak sudah pasti sedar bahawa hak Sarawak sama ada daripada segi kedaulatan, ekonomi, imigresen, bidangkuasa undang-undang dan sebagainya telahpun termaktub di dalam Perjanjian Malaysia yang ditandatangani pada 9 Julai 1963 antara Kerajaan Persekutuan Melayu dan United Kingdom bersama Sarawak.
"Hampir 55 tahun Sarawak bersama Malaysia, nampaknya KM Abang Jo masih jahil berkenaan MA63.


"Seharusnya, Kerajaan Sarawak hanya perlu membaca empat sudut Perjanjian Malaysia bagi mengetahui dan menghadami hak yang ada pada Sarawak kerana menjadi prinsip undang-undang bahawa segala terma yang dipersetujui selama ini telah termaktub di dalamnya.
"Bukankah suatu yang sangat naif apabila setelah 56 tahun terbentuknya Malaysia, Kerajaan Sarawak tiba-tiba beriya-iya benar mahu mencari sumber rujukan baru sedangkan Perjanjian Malaysia sudah lama ditandatangani dan dilaksanakan?," soalnya.
Justeru Salahuddin berkata, kajian yang kononnya kerajaan negeri mahu dilakukan di London itu, pada pandangan beliau ia tidak lebih daripada satu sandiwara politik murahan Kerajaan BN Sarawak.
"Sandiwara untuk menyakinkan rakyat Sarawak kononnya Kerajaan Sarawak mahu membuat tuntutan tambahan terhadap Kerajaan Persekutuan.
Ia adalah tindakan yang sia-sia dan membazir wang rakyat. Melainkan Abang Jo mungkin tidak percaya dengan Peguam Negara lantikan Putrajaya dalam menasihati MA63 sehingga terdesak merujuk sehingga ke London.
"Sedangkan, dalam banyak-banyak isu yang melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat termasuk rakyat Sawarak seperti GST dan Cukai Pelancongan, Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional Sarawak bukan sahaja gagal menentang malahan mengundi untuk menyokong dasar-dasar tersebut yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan sewaktu sesi persidangan Dewan Rakyat yang lalu.
"Sebab itu, dalam keadaan Sarawak diperintah oleh parti komponen yang sama dengan Kerajaan Persekutuan, adalah mustahil Kerajaan Sarawak akan membuat tuntutan berbeza kepentingan secara konkrit." jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA