Rabu, 26 Julai 2017

Penubuhan RCI untuk skandal 1MDB lebih mendesak dari unit integriti

Sebelum mewujudkan Unit Integriti dan Tadbir Urus di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Putrajaya sepatutnya menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan salah guna kuasa di 1MDB.
Kata Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) desakan itu dibuat sekali lagi kerana pertubuhan pendesak itu tidak mahu unit yang diumum perdana menteri semalam dijadikan propaganda politik semata-mata.
Naib Presiden PERKASA Datuk Ruhanie Ahmad berkata selepas menubuhkan RCI untuk menyiasat skandal kewangan zaman Tun Dr Mahathir dulu, kerajaan perlu menunjukkan kesungguhan menubuhkan badan seumpama itu untuk 1MDB.
"PERKASA yakin tuntutan menubuhkan RCI untuk menyiasat 1MDB ini tidak keterlaluan kerana fokus majoriti rakyat ketika ini bukan kepada masalah kerugian dagangan mata wang asing (forex) dulu, tetapi kepada 1MDB.
"Sikap pemerintah yang dingin terhadap isu 1MDB hanya memperagakan pendirian bermuka-muka bagi menangani sesuatu isu keselamatan ekonomi di Malaysia mutakhir ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kerajaan mengumumkan penubuhan dan anggota RCI bagi menyiasat skandal kewangan negara pada 1990-an lalu dengan Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebagai pengerusi.
Dalam kenyataan pada 18 Julai itu, RCI berkenaan dikehendaki menyiapkan laporan berkenaan dalam tempoh tiga bulan.
Henti dabik dada
Semalam Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan unit khas berkenaan yang diletak di bawah pengawasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kata perdana menteri penubuhan unit itu juga adalah sebagai maklum balas terhadap komuniti perniagaan yang mahukan komitmen kerajaan kepada penambahbaikan.
Kata Ruhanie, PERKASA menjadi pertubuhan bukan kerajaan pertama mendesak penubuhan RCI bagi menyiasat 1MDB beberapa tahun lalu dan ia akan diteruskan demi agama, bangsa dan negara.
Bekas anggota parlimen Parit Sulong di Johor itu juga berkata, menjadi suatu keanehan serta menimbulkan kemusykilan apabila kerajaan tiba-tiba melencongkan keutamaan RCI daripada 1MDB kepada isu forex yang "sudah dikuburkan sejarah".

"PERKASA berpendapat sesebuah pemerintah yang waras waras dan ikhlas mesti menyandarkan keutamaan kepada rakyat dan tidak membuat keputusan atas dorongan mengutamakan elit tertinggi pemerintahan negara," katanya.
Pada masa sama kata Ruhanie kerajaan juga perlu menunjukkan keprihatinan mereka untuk menangani masalah kos sara hidup dan yang kian meningkat setiap hari.
"Hentikanlah perbuatan mendabik dada mengenai perangkaan-perangkaan pelaburan asing, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), atau sasaran pendapatan tinggi rakyat di hari muka.
"Sebaliknya, singsinglah lengan untuk mengatasi masalah perut atau makan pakai rakyat marhaen yang menjadi tulang belakang, teras, dan paksi kepada pemerintah Malaysia.
"Rakyat pintar menilai ketulenan kata dan bahasa, dan juga bijak untuk mengesan kepura-puraan perilaku," katanya yang juga pengerusi Biro Ekonomi dan Agenda Nasional PERKASA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA