Sabtu, 1 Julai 2017

Penubuhan RCI bongkar individu lindung kerugian Bank Negara sembang menteri Umno


Ismail Sabri

Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1980-an dan 1990-an akan membongkar mereka yang bertanggungjawab melindungi isu tersebut.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata RCI mempunyai kuasa perundangan untuk menyiasat, memanggil pihak yang berkaitan dan mendapatkan dokumen termasuk yang dikategorikan sebagai rahsia besar dalam menjalankan siasatan mereka.
Katanya, penubuhan RCI itu juga suatu langkah tepat kerana jumlah kerugian BNM terlalu besar, melebihi daripada dakwaan RM9 bilion yang didedahkan kepada umum sebelum ini.
"Kita lihat seolah-olah ada pihak yang ingin menutup segala yang berlaku kerana jawapan di Parlimen mengelirukan. Jika kerugian yang melibatkan puluhan bilion ringgit boleh ditutup, pasti ada pihak tertentu yang mengarahkan supaya kes ini diselewengkan atau ditutup.
"Rakyat sudah pasti ingin tahu siapa sebenarnya di belakang segala isu. RCI juga adalah badan bebas yang bukan dilantik kerajaan, tetapi oleh Yang di-Pertuan Agong. Mereka ada kuasa yang meluas dan kita ada lebih peluang untuk mendapatkan kebenaran," katanya.
Ismail Sabri yang juga Anggota Parlimen Bera berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dataran Kerayong hari ini, yang dihadiri lebih 20,000 penduduk Bera dan kawasan sekitar.
Beliau juga menolak dakwaan bahawa penubuhan RCI bersifat politik kerana penubuhan suruhanjaya itu bermula daripada dapatan Pasukan Petugas Khas yang diketuai bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Pasukan petugas itu turut mendapati ada percubaan untuk menyembunyikan fakta sebenar berkaitan kerugian itu, dengan maklumat mengelirukan dikemukakan kepada Kabinet dan Parlimen dan wujud kes prima facie yang perlu dijawab oleh BNM, katanya.
"Malah, dalam kes ini juga tiada tempoh masa. Jadi sekarang adalah masa untuk kita mendapatkan kebenaran dan ketelusan daripada siasatan RCI," katanya.

Mengulas mengenai tindakan pembangkang yang mahu supaya RCI juga ditubuhkan bagi menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Ismail Sabri berkata pembangkang seharusnya memahami perbezaan antara kedua-dua kes itu.
Katanya, isu berkaitan 1MDB telah melalui siasatan pelbagai pihak berkuasa dan agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis, Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berbeza dengan kes kerugian BNM yang sehingga kini tidak pernah disiasat.
"Semua pihak berkuasa telah buat siasatan termasuk PAC yang juga diwakili pihak pembangkang. Jadi (1MDB) tidak perlukan RCI kerana jika diwujudkan akan berlaku pertindihan kerana semua pihak yang telah lakukan siasatan juga mempunyai kuasa perundangan," katanya.

2 ulasan:

  1. Forex dan 1mdb sama sama merugikan negara. Tubuhlah rci untuk siasat 1 mdb juga. Baru adil. Ismail taknak kebenaran dan ketelusan pasal 1mdb yg disiasat oleh 7 negara ker?

    BalasPadam
  2. La ni ismail nk jaga najib ada 2 sbb :-
    1. Sdg melobi btanding jwtn naib presiden umno sekiranya najib tersungkur dn hisyamudin jd Tpm.
    2. Sdg melobi utk btanding pru yg akn dtg.
    Kedua2 isu wpun berbeza tp isunya 1mdb telah penyalahgunaan duit hasil cukai rakyat. Duit tu pusing sna pusing sni akhirnya smpi kpd akaun Menteri Kwangan. Dan berbelanja mewah dsegala sudut.
    Sabri, nk buat apa ko menyokong org yg nk rebah...mna ko syg ...parti atau individu ?

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA