Jumaat, 21 Julai 2017

PENJAWAT AWAM LEBIH UNTUNG BILA KERAJAAN MUDAH BERTUKAR TANGAN

Selain undi orang kampung dan peneroka Felda, satu lagi faktor yang banyak membantu kemenangan UMNO dan BN selama ini ialah sokongan kakitangan awam.

Dengan jumlah seramai 1.6 juta orang atau seorang bagi setiap 19 rakyat Malaysia, sokongan kakitangan awam tidak dinafikan adalah kelebihan yang nyata bagi UMNO dan BN dalam mengekalkan kuasa.

Walaupun Najib Razak baru-baru ini dilaporkan memberitahu pimpinan UMNO bahagian-bahagian bahawa sokongan kakitangan awam masih berpihak kepada kerajaan pimpinannya, tetapi sepertimana yang disedari oleh sebahagian besar daripada kita, perkara itu adalah subjektif sebenarnya.

Mungkin Najib hanya mendapat jaminan daripada Ketua Setiausaha Negara atau Ketua Setiausaha Perbendaharaan atau sekadar untuk menyedapkan hatinya saja.
Hakikatnya, di mana-mana kita boleh berjumpa dengan kakitangan awam yang tidak puas hati, kecewa dan marah kepada kerajaan atas pelbagai faktor. Di peringkat atas, mungkin ramai yang masih berpihak kepada UMNO dan BN, tetapi di peringkat pertengahan dan bawah, sokongan itu sudah jadi bercampur-campur sebenarnya.

Perlukah kakitangan awam sentiasa menyokong UMNO, BN dan pimpinan kerajaan sedia ada atau lebih menguntungkan jika mereka mengintai-intai kepada sebuah kerajaan baru?

Sebagai kakitangan awam, tugas,  khidmat dan sokongan memang perlu diberikan kepada kerajaan yang sedang berkuasa. Tetapi, ketika pilihanraya, mereka tetap berhak memberi undi kepada sesiapa saja yang disukai.

Tidak ada ketetapan atau kewajipan bahawa kakitangan awam mesti mengundi UMNO dan BN. Ketika mengundi, yang diundi bukan kerajaan, tetapi parti politik.

Sinonimnya UMNO dengan kerajaan selama ini ialah kerana pertukaran kerajaan tidak pernah berlaku sejak merdeka lagi. Ia sudah jadi seolah-olah UMNO itu kerajaan dan kerajaan itu UMNO.

Dalam memastikan undi tidak beralih arah, malah selalu kedengaran pimpinan UMNO mengingatkan kakitangan awam agar tidak menggigit jari pihak yang memberi mereka makan. Kakitangan awam seolah-olah diugur untuk terus menyokong UMNO dan BN serta jangan sesekali memberi undi kepada pembangkang.

Keadaan itu bukan saja salah, bahkan jauh menyimpang. Berkhidmat dengan kerajaan tidak bererti bekerja dengan UMNO dan BN. UMNO dan BN menguasai kerajaan hanya kerana kebetulan mereka terus mendapat sokongan, namun ia adalah perkara yang boleh berunah setiap kali pilihanraya diadakan.

Apa pun perubahan dalam kerajaan atau bertukar parti yang membentuk kerajaan, penjawat awam tetap kekal berkhidmat dengan kerajaan. Mereka tidak boleh sesukat hati diberhentikan atau dibuang hanya kerana parti lain yang memerintah.

Dalam hal ini, kakitangaan awam sebenarnya punya kelebihan. Jika mereka tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi, gaji tidak meningkat, beban kerja bertambah sedangkan dalam masa yang sama pemimpin parti yang sedang menguasai kerajaan bebas bersukaria berbelanja, membazir, mengamalkan rasuah dan sebagainya, berubah dan mengalihkan sokongan adalah pilihan yang paling wajar.

Kakitangan awam harus berani memberi pengajaran kepada orang-orang politik yang ada jawatan dalam kerajaan dengan menolak mereka dan seterusnya memberi keutamaan kepada pemimpin parti lain pula untuk mentadbir kerajaan. Dalam masa yang sama, kedudukan mereka terus juga kekal sebagai penjawat awam.

Jika dilihat dalam konteks Selangor dan Pulau Pinang misalnya, perubahan kepimpinan kerajaan akhirnya memberi keuntungan kepada penjawat awam itu sendiri. Hanya kerana bertukar kerajaan, mereka dapat bonus dua dan dua bulan setengah gaji, manakala di Pusat dan di negeri-negeri lain yang masih ditadbir UMNO, imbuhannya masih lagi dalam lingkungan RM500 saja.

Mungkin juga pertukaran kerajaan turut membawa beberapa manfaat lain lagi kepada penjawat awam. Pertukaran kerajaan tidak sesekali merugikan penjawat awam kerana yang hilang jawatan dengannya hanyalah anggota pentadbiran atau pemimpin politik yang menempek di tampuk kerajaan saja.

Lantaran itu, kenyataan Cuepacs bahawa tiada jaminan penjawat awam akan terus mengundi BN adalah kenyataan yang tepat dan bijak. Lagi mudah kerajaan bertukar tangan, lagi banyak keuntungan menunggu masa depan mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA