Jumaat, 7 Julai 2017

Peniaga tidak bayar GST berdepan larangan ke luar negara


Peniaga tidak bayar GST berdepan larangan ke luar negara
Peniaga yang masih berhutang pembayaran GST membuat pemeriksaan dengan Jabatan Imigresen untuk melihat sama ada nama mereka termasuk dalam senarai hitam. 
PENIAGA yang tidak membayar cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan dihalang ke luar negara, kata Jabatan Kastam Diraja Malaysia hari ini.
Laporan Sin Chew Daily memetik Ketua Pengarah Kastam Subromaniam Tholasy berkata, terdapat lebih 7,100 peniaga disenarai hitam kerana gagal membayar GST.
"Jika peniaga sudah melunaskan GST, Jabatan Kastam akan segera meminta Jabatan Imigresen mengeluarkan namanya daripada senarai hitam," kata Subromaniam.
Beliau juga menasihatkan peniaga yang masih berhutang GST melakukan pemeriksaan dengan Jabatan Imigresen untuk melihat jika nama mereka termasuk dalam senarai hitam.
Presiden Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazong) Pheng Yin Huah kesal dengan larangan perjalanan kerajaan terhadap peniaga yang disyaki gagal membayar GST tanpa notis yang membangkitkan kemarahan di kalangan mereka.
Pada Ahad, seorang ahli perniagaan dari Sarawak berkata dia hanya mengetahui mengenai larangan itu sejam sebelum penerbangannya kerana GST tertunggak.
Walaupun membayar jumlah tertunggak sebanyak RM2,739.04 pada hari yang sama selepas memeriksa dengan pengarah syarikatnya, beliau berkata tetap dihalang kerana larangan itu hanya boleh dilakukan oleh Putrajaya.
Ketua Pengarah Imigresen Mustafar Ali berkata jabatannya akan mengikut arahan daripada agensi lain dan juga perintah mahkamah dalam mengenakan larangan perjalanan ke atas rakyat Malaysia.
"Jabatan Imigresen tidak membezakan ia cukai apa. Jika seseorang ingkar membayar cukai negara, sama ada cukai pendapatan peribadi, cukai korporat atau GST, selagi badan yang berkenaan meminta Imigresen mengenakan sekatan, jabatan akan melaksanakannya mengikut arahan," katanya kepada Sin Chew Daily.

1 ulasan:

  1. 1mdb dikecualikan cukai... bagaimana pula tu?

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA