Rabu, 19 Julai 2017

Peneroka Felda setia sokong Umno sembang Salleh

Salleh Said Keruak berkata, peneroka Felda menyedari kerajaan BN yang ditunjangi Umno adalah parti pemerintah terbaik untuk mengurus negara serta membantu orang Melayu.
salleh-feldaKUALA LUMPUR: Hasrat Pakatan Harapan untuk bertapak di Felda dengan memenangi kerusi di kawasan itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) adalah angan-angan berikutan peneroka mempunyai keyakinan yang begitu tinggi terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) sekarang.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, peneroka Felda menyedari kerajaan BN yang ditunjangi Umno adalah parti pemerintah terbaik untuk mengurus negara serta amat berjasa, khususnya membantu orang Melayu dan secara konsisten pula memberi bantuan kewangan dan subsidi, bonus tahunan, menjaga kebajikan serta pelbagai bantuan lain kepada masyarakat peneroka Felda.
“Dengan keyakinan pengundi Felda kepada pemerintah ini, maka hasrat Pakatan Harapan untuk bertapak di Felda adalah angan-angan semata-mata. Ini kerana warga Felda menyedari memberi sokongan kepada Pakatan Harapan boleh menjejaskan masa depan mereka,” katanya dalam catatan terkini blognya sskeruak.blogspot.com mengenai Felda pada PRU14.
Salleh yang juga bendahari Umno berkata, Felda sangat disayangi orang Melayu kerana kejayaannya memajukan orang Melayu dan mengubah taraf hidup golongan Melayu miskin di luar bandar.
“Justeru, sayangnya Melayu kepada Felda, maka Felda selalu disinonimkan dengan deposit tetap parti pemerintah.
“Ini dapat dilihat daripada keputusan PRU 2013. Pada pilihan raya ini, peratusan pengundi Felda yang mengundi Umno/BN cukup signifikan: peratusan tertinggi ialah Sabah (92%), Johor (86%), Perlis (78%), Negeri Sembilan (77%), Perak (75%), Melaka (74%), Kedah (74%), Selangor (73%), Terengganu (67%), Pahang (67%), dan Kelantan (61%),” kata Salleh.
Beliau turut mengimbas kembali sejarah Felda ditubuhkan pada 1 Julai 1956 oleh bekas perdana menteri ke-2, Tun Abdul Razak Hussein untuk membasmi kemiskinan orang Melayu melalui rancangan pembangunan tanah dengan penanaman sawit dan getah.

“Sejak penubuhannya, Felda membangun pesat dengan memiliki 850,000 hektar tanah tanaman, 38 anak syarikat, 75 kilang minyak kelapa sawit, dan 7 kilang pengekstrak minyak kelapa sawit.
“Dengan keluasan tanamannya, Felda menguasai 20% pasaran kelapa sawit di dunia dengan pendapatannya mencecah RM15 bilion setahun,” katanya.
Sehubungan itu, Salleh berkata, menerusi sokongan pengundi Felda kepada pemerintah adalah satu tugas sukar untuk Pakatan Harapan memenangi kerusi Felda pada PRU14.
Kebetulan, kenyataan Salleh itu dibuat ketika kerajaan menghargai sumbangan peneroka Felda melalui majlis sambutan Hari Peneroka Felda 2017 peringkat kebangsaan, bertemakan “Ekspresi Negaraku Felda Malaysia” secara besar-besaran di Putrajaya yang akan berlangsung 3 hari bermula Jumaat ini.

1 ulasan:

  1. Pi lantak la ngan felda..nak melingkup maju bankrap ..Tak kisah..

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA