Jumaat, 7 Julai 2017

Penduduk Penaga tergamam dengan pendedahan skandal 1MDB


Penduduk Penaga tergamam dengan pendedahan skandal 1MDB
Sebahagian 200 penduduk kampung yang hadir pada ceramah mengenai 1MDB di Kepala Batas, Pulau Pinang malam tadi. Kebanyakan mereka terkejut dengan pendedahan berhubung skandal melibatkan syarikat pelaburan negara itu. 
HADIRIN di dewan masyarakat Penaga terpempan ketika melihat senarai panjang rantai, gelang dan permata yang dibeli dengan wang yang didakwa dicuri daripada syarikat pelaburnegara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kejutan itu diikuti kebingungan tentang bagaimana berbilion ringgit yang dicuri daripada dana negara yang menanggung hutang dibelanjakan kepada lukisan yang pada pandangan mereka tidak lebih sekadar lakaran contengan.
Inilah reaksi ditunjukkan penduduk kampung semasa pengkritik tegar 1MDB, Tony Pua membentangkan slaid secara terperinci berhubung skandal berbilion ringgit yang mencetuskan penyiasatan di enam negara.
"Saya berasa jijik melihat semua barang kemas itu. Semuanya dibeli dengan wang kita," kata Hasnah Din, 62, ketika ditanya aspek paling menarik perhatiannya pada pembentangan Pua itu.
Hasnah dan rakannya, Che Rohani Osman, 62, adalah antara 200 penduduk kampung di Penaga yang menghadiri ceramah 1MDB "Selamatkan Malaysia, Tamatkan Kleptokrasi" semalam.
Penaga, kubu kuat Umno yang terletak bawah pentadbiran Pakatan Harapan yang memerintah Pulau Pinang, menjadi lokasi pelancaran bagi pameran bergerak gabungan itu di seluruh negara mengenai 1MDB yang disasarkan kepada penduduk luar bandar, bank undi penting pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
PH kini menggunakan pendedahan baru Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mengenai 1MDB untuk menawan pengundi luar bandar.
Pendedahan mengejutkan ini termasuk bagaimana AS$27 juta (RM117 juta) dibelanjakan pada kalung berlian merah jambu untuk isteri "Malaysian Official No. 1" (MO1).
Menteri Abdul Rahman Dahlan sebelum ini mengesahkan MO1 adalah Perdana Menteri Najib Razak.
Sekiranya respons Hasnah dan Che Rohani menjadi contoh, PH membuktikan penyampaian ringkas dan perbincangan mengenai 1MDB dapat dicerna oleh penduduk luar bandar.
"Masyarakat kampung dapat memahami perkara ini," kata Che Hasnah, yang menyukai pembentangan slaid Pua, yang menampilkan carta dan gambar berkaitan skandal itu.
Dalam tempoh kira-kira 40 minit, Pua menunjukkan bagaimana individu tertentu menyedut lebih AS$3 bilion daripada 1MDB melalui transaksi kewangan yang kompleks dan membersihkan wang itu melalui sistem perbankan AS.
Pua juga menunjukkan ke mana wang itu dibelanjakan – hartanah mewah, jet, kapal layar, barang kemas dan lukisan.
DoJ mendakwa sehingga AS$4.5 bilion dicuri daripada 1MDB.
Orang ramai tersentak apabila melihat semua barang kemas yang dibeli dengan harga RM56 juta, selain rantai bernilai RM117 juta.
"Semua barang kemas ini benar-benar menarik perhatian saya. Mereka benar-benar membazirkan wang rakyat, kongsi kata-kata saya ini, kongsi," kata Che Hasnah.
Model Australia, Miranda Kerr mengembalikan barang kemas bernilai AS$8.1 juta (RM35 juta) yang dihadiahkan Jho Low, individu utama dalam skandal itu, kepada DoJ bulan lepas.
Bagi hadirin lain, jejak wang daripada 1MDB hingga masuk ke akaun bank Najib juga berguna. Ia memberikan mereka perspektif berbeza mengenai skandal pentadbiran Najib.
Kerajaan menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menemui bukti salah laku dalam 1MDB dan siasatan DoJ adalah usaha untuk menjatuhkan Najib.
Ibrahim Hassan berkata penjelasan PH mengenai 1MDB adalah penting dalam mengubah minda orang Melayu luar bandar berhubung skandal itu.
"Apabila anda menyampaikannya seperti ini, orang yang hanya mendapat berita daripada Utusan dan TV3 akan mendapat pandangan alternatif, yang akan membuka fikiran mereka," kata peniaga berusia 42 tahun itu.

Seorang lagi yang hadir, Izhar Shah Arif Shah, 24, berkata pembentangan Pua itu memperjelaskan lagi maklumat yang sebelum ini hanya dibaca dalam akhbar.
"Apabila saya membacanya, saya hanya mendapat idea kasar. Jadi, pembentangan itu membantu saya memvisualkan skandal keseluruhan. Bagaimana mereka mengambil wang, bagaimana ia disalurkan ke luar negara dan apa yang mereka gunakan untuknya."
Walaupun para hadirin yang ditemui The Malaysian Insight memuji ceramah itu, ada juga yang mengatakan keperluan untuk memastikan program ini dihadiri oleh penduduk luar bandar.
"Tiada publisiti mencukupi mengenai majlis ini," kata pesara Ismail Ahmad, 59, sambil menambah sesetengah orang Penaga tidak tahu mengenainya.
"Saya fikir penduduk kampung dapat memahami 1MDB, tetapi anda perlu bekerja keras untuk mengajak mereka datang dan membentangkannya dalam bahasa yang mereka fahami." 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA