Rabu, 5 Julai 2017

Pemuda UMNO terdesak, guna sentimen nasional tutup skandal 1MDB

Nampaknya, barisan pemuda UMNO telah bersuara mempertahankan skandal 1MDB apabila Naib Ketua Pemudanya, Khairul Azwan mendakwa undi kepada Pakatan Harapan adalah undi kepada campurtangan asing dalam skandal 1MDB. Kenyataan yang dilaporkan dalam Berita Harian ini agak memeranjatkan kerana beliau dengan dangkalnya menyatakan tidak mustahil Peguam Negara Amerika Syarikat, Loretta Lynch akan dilantik mereka menjadi Peguam Negara manakala bekas Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), James Comey dijadikan Ketua Polis Negara.
Malah dakwaan beliau ini jelas bercanggah dengan kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak pada 21 Julai 2016 yang menyatakan saman DOJ bukanlah satu konspirasi terhadap Najib Razak tetapi mengikut lunas perundangan Amerika Syarikat.
Namun, akibat terdesak, Khairul Azwan dengan semberono telah menuduh saman DOJ adalah campurtangan asing semata-mata mahu mengalih perhatian rakyat terhadap skandal antarabangsa 1MDB yang melibatkan herta negara berbillion-bilion ringgit. Lebih nampak terdesak, beliau terus menuduh Pakatan Harapan menyokong campurtangan asing apabila melihatkan kesungguhan Pakatan Harapan untuk menerangkan isu sebenar 1MDB kepada rakyat Malaysia.
Untuk memudahkan pemahaman beliau, skandal 1MDB ini adalah skandal antarabangsa bukan kerana syarikat ‘suci’ ini milik kerajaan Malaysia pimpinan UMNO BN tetapi kerana transaksi perniagaan dan pelaburan tersebut melangkaui batasan sempadan sehingga ke Amerika Syarikat. Malaysia sepertimana Amerika Syarikat, mempunyai undang-undang berkaitan penggubahan wang haram yang memberikan kuasa kepada Bank Negara Malaysia dan pihak polis untuk menyiasat sebarang aktiviti-aktiviti perniagaan yang diragui.
Dengan kata mudah, tindakan saman DOJ adalah menurut undang-undang Amerika Syarikat untuk memastikan sistem kewangan mereka tidak dijadikan sebagai safe haven (tempat selamat) untuk sebarang aktiviti korupsi dan penggubahan wang haram. Malaysia juga mempunyai kuasa yang sama untuk menyiasat syariikat milik negara luar yang melakukan transaksi penggubahan wang haram dan korupsi dalam negara kita. Tidak timbul soal campurtangan asing, jika beliau benar-benar membaca keseluruhan saman ini.
Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) juga telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kes 1MDB sebelum saman DOJ dikemukakan dan telah dilaporkan dalam Utusan Malaysia. Selepas siasatan tersebut, DOJ telah menfailkan saman sivil pada 20 Julai 2016 untuk melucutkan hak beberapa aset yang didakwa dibeli atau diperoleh melalui wang yang disalurkan daripada 1MDB.
Malangnya, semua rakyat Malaysia tahu ke mana akhirnya siasatan 1MDB di Malaysia apabila Peguam Negara sendiri telah membuat sidang media pada 26 Januari 2016 untuk tidak meneruskan pendakwaan berhubungan derma RM 2.6 billion dan dana RM 42 juta SRC yang berada dalam akaun Perdana Menteri serta telah mengklasifikasi kes 1MDB sebagai NFA atau tiada tindakan lanjut. Lebih mengecewakan laporan audit 1MDB pula telah diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi dan sehingga kini, tidak boleh dihebahkan kepada umum.

Dalam keadaan ini, Pakatan Harapan tidak boleh hanya berdiam diri dan membiarkan pentadbiran kleptokrasi ini bermaharajalela dan perlu mendedahkan butiran saman DOJ kepada rakyat Malaysia untuk mereka mengetahui status terkini siasatan terhadap individu penting yang terlibat secara langsung ke atas 1MDB termasuk Malaysian Official 1 yang selama ini disorokkan dalam media arus perdana.
Saya yakin beliau juga tahu skandal 1MDB sukar untuk disorokkan bak kata pepatah “Bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru” dan pimpinan UMNO BN kini nampak cukup terdesak untuk mengheret semangat patriotism rakyat dan sentimen kenegaraan untuk menutup skandal 1MDB ini.
Saya menyeru agar beliau selaku pimpinan pemuda bangkit ke hadapan untuk mendesak laporan audit 1MDB dihebahkan kepada umum dan menuntut kes 1MDB disiasat kembali jika benar beliau serius terhadap integriti pemimpin kesayangan beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA