Ahad, 30 Julai 2017

Pemuda Amanah kutuk kenyataan 'menghasut' MT Umno



Pemuda Amanah Nasional mengutuk kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kononnya keistimewaan yang dikecapi orang Melayu dan Bumiputera akan hilang jika Pakatan Harapan (PH) diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Ketua pemudanya Mohd Sany Hamzan berkata, kenyataan itu melampau dan bersifat hasutan terhadap orang Melayu agar tidak melakukan perubahan.
"Umno cuba menakut-nakutkan rakyat kononnya DAP mengetuai Pakatan Harapan sedangkan mereka mengetahui hakikat sebenarnya.
Sany Hamzan"Umno juga cuba menggambarkan kononnya orang Melayu di Pulau Pinang terpinggir sedangkan MCA baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa DAP lebih mementingkan Melayu di negeri tersebut.
"Mereka antara sesama parti komponen cuba menipu rakyat demi survival undi kelompok mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail sewaktu berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Batu Sapi semalam berkata, jika kuasa pemerintahan negara diambil Pakatan Harapan, semua yang dirancang kerajaan untuk pertahankan Melayu dan Bumiputera musnah.
"Selagi kuasa ada pada Umno, kita mampu mengangkat Melayu dan Bumiputera, tapi jika kuasa diambil Pakatan Harapan, semua yang dirancang kerajaan untuk pertahankan Melayu dan Bumiputera musnah.
"PRU-14 sangat penting, cuma beri dua pilihan sama ada Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO atau pakatan pembangkang... pastikan UMNO terus menang kerana jika tidak, semua yang kita peroleh hilang dan yang rugi orang Melayu dan Bumiputera," katanya yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Mengulas lanjut, Sany berkata, rakyat sangat yakin terhadap kepimpinan Pakatan Harapan yang sangat mementingkan aspek kepentingan semua kaum dan keistimewaan orang Melayu.
"Perkara 153 dalam Perlembagaan negara yang mengiktiraf kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera tetap terjamin dan dipertahankan apabila Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan negara.
"Pakatan Harapan yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail serta barisan kepimpinannya mendukung sepenuhnya semangat Perlembagaan Negara terutama melibatkan kepentingan bumiputera," katanya.

Menurut beliau juga, dalam perjanjian Pakatan Harapan yang termeterai pada 13 Disember 2016, PKR, DAP, Amanah Bersatu bersepakat untuk menyokong beberapa perkara penting termasuklah mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas, aman dan damai di di negara ini sejajar dengan Perkara 3; serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.
"Sudah pasti pimpinan seperti Tun Dr Mahathir akan memastikan orang Melayu sentiasa dijamin seperti termaktub dalam perlembagaan," katanya.
Justeru, katanya, Pemuda Amanah Nasional mengajak seluruh rakyat menolak politik perkauman yang sentiasa dimainkan demi mengekalkan survival politik Umno-BN khususnya menjelang pilihan raya.
"Pakatan Harapan tetap komited menyuburkan semangat demokrasi serta mengangkat martabat perlembagaan negara.
"Rakyat telah cakna terhadap taktik yang dimainkan oleh Umno dalam menutup salah laku dan kegagalan mereka mengurus tadbir negara. Kami yakin, rakyat telah meletakkan azam untuk membuat perubahan dalam PRU14 nanti," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA