Sabtu, 29 Julai 2017

Pemuda Amanah Kelantan dahului perang siber, dakwa Wan Rahim

 Satu petanda jelas kelebihan pemuda Amanah negeri Kelantan dalam konteks persaingan politik semasa ialah kejayaan mereka menonjolkan diri secara intensif dalam memanfaatkan teknologi maklumat dan aplikasi semasa terkini.
Wan Rahim Wan AbdullahPengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mengucapkan syabas kepada sayap pemuda kanan partinya itu, berharap usaha perlu dibuat untuk meningkatkan lagi mutu dan intensiti dalam bidang tersebut.
"Bila berada di pertemuan-pertemuan parti di luar Kelantan, saya selalu mendapat ucapan 'Bagus pemuda Kelantan!'.
"Bila ditanya balik apa yang bagus, mereka kata pemuda Kelantan memang top kuasai media siber," katanya ketika merasmikan konvensyen tahunan pemuda Amanah negeri Kelantan di kompleks bilik gerakan pilihanraya Dun Bunut Payong semalam.
Sejarah menunjukkan kata beliau, kejayaan sesebuah gerakan politik akan bermula bermula dengan gerakan pemuda yang tersusun dan berani.
"Menjelang kejatuhan Umno pada tahun 1990 sekumpulan anak-anak muda sebahagian besarnya baru keluar dari universiti adalah tonggak utama yang mengerah rakyat untuk menukar kerajaan.
"Mereka ini memberi komitmen melebihi paras normal dan bekerja dengan penuh pengorbanan tanpa menghiraukan nasib peribadi.
"Antara mereka yang masih boleh disebut hingga sekarang ialah bekas ketua pemuda Ustaz Muhammad Husin dan setiausahanya ketika itu Datuk Husam Musa," katanya.
Menurutnya beliau masih ingat bagaimana kumpulan ini membawa masuk ke dalam gerakan parti penggunaan komputer yang sangat asing kepada orang ramai waktu itu.
"Bukan saja parti-parti lain seperti Umno tidak kenal komputer malah badan-badan kerajaan belumpun guna komputer pada masa itu.
"Tetapi dengan kesungguhan mereka, komputer menjadi kegunaan utama di pejabat parti lama kita dan bila berlaku pilihanraya, kita guna komputer untuk urusan pengundi di bangsal-bangsal panas," katanya.

Pemuda katanya perlu berani membuat inovasi-inovasi baru dan bekerja di luar kebiasaan.
"Kalau tak sanggup buat kerja ini, tak payahlah jadi pemuda, ubah terus umur anda jadi 50 atau 60," katanya disambut laungan takbir oleh para perwakilan dan pemerhati.
Usaha menggerakkan parti peringkat awal kata beliau memang memerlukan pengorbanan besar dan hanya pemuda yang berketrampilan tinggi sanggup melakukannya.
"Saudara-saudara perlu sedar semua kita terutama pemimpin-pemimpin terpaksa berkorban apa saja pada peringkat ini dan atas bahu golongan mudalah untuk menjayakan usaha besar ini.
"Saya yakin dengan prestasi yang telah ditunjukkan pemuda Amanah Kelantan akan mampu mencipta sejarah besar dan menjulang kejayaan," katanya.
Perasmian konvensyen itu turut dihadiri tetamu-tetamu dari pimpinan Amanah negeri, sayap Awan dan Warda serta pimpinan-pimpinan pemuda parti-parti komponen Pakatan Harapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA