Sabtu, 8 Julai 2017

Pemilihan semula DAP: ROS diminta bertindak profesional

DAP dan ROS
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) perlu bertindak secara profesional dalam menangani pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP baharu yang sah dan telus bagi membolehkan perwakilan memilih 20 anggota yang sah dan diiktiraf.
Ahmad Zahid HamidiTimbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata segala tindakan diserahkan kepada ROS yang diyakini bertindak berdasarkan kepada ruang lingkup yang terdapat dalam perlembagaan untuk menjaga anggota DAP.
"Saya ingin menyatakan bahawa ROS memang berjumpa dengan saya dan saya telah meminta beliau (ketua pengarah ROS) bertindak profesional dan jangan menggunakan emosi, jauh sekali menggunakan mana-mana pemikiran di luar kotak perlembagaan DAP sendiri dan Akta Pertubuhan 1966.
Ini kerana ROS adalah badan yang bertindak bagi menjaga mana-mana ahli pertubuhan termasuk pertubuhan politik kerana perlembagaan menjadi asas kepada parti politik atau pertubuhan berkenaan," katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Bagan Datuk hari ini.
Semalam, Ketua Pengarah ROS Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata pelantikan 20 anggota CEC DAP serta pemegang jawatan utama hasil pemilihan semula yang diadakan pada 29 Sept 2013 adalah tidak sah dari segi undang-undang.

Pemilihan semula yang diadakan itu sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Disember 2012, iaitu yang melibatkan 2,576 perwakilan dari 865 buah cawangan.
Ini kerana hanya anggota CEC yang sah dan diiktiraf sahaja boleh melantik pemegang jawatan utama yang sah dan diiktiraf mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti DAP.
Justeru Ahmad Zahid berkata kenyataan media yang dibuat Mohammad Razin semalam adalah demi menjaga kepentingan terhadap apa yang termaktub dalam pertubuhan parti itu serta bertindak mengikut Akta Pertubuhan 1966.
"Saya yakin ROS akan menghantar surat rasmi kepada Setiausaha Agung DAP (Lim Guan Eng) untuk memberikan jawapan secara surat rasmi yang akan dihantar. Kenyataan yang dikeluarkan oleh ROS semalam adalah sebagai penjelasan yang dibuat terhadap kenyataan dibuat oleh pemimpin DAP sebelum ini," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA