Ahad, 2 Julai 2017

Pembantu PM sahkan konspirasi haramkan DAP

Anggota Parlimen Kluang mendakwa setiausaha akhbar perdana menteri secara tidak sengaja mengesahkan bahawa wujudnya rancangan untuk mengharamkan DAP pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Liew Ching Tong mendakwa, ia ekoran kenyataan dibuat Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad mengenai kemungkinan sama ada DAP dibenarkan menggunakan logo roket pada PRU ke-14.
"Secara tidak sengaja, kenyataan Tengku Sariffuddin mengesahkan pemikiran orang di sekeliling (Datuk Seri) Najib (Razak) tentang rancangan perdana menteri untuk mengharamkan DAP sebelum PRU akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Status DAP kini dilaporkan dalam keadaan terawang-awang selepas timbul isu pemilihan parti pada 2012 yang dipertikaikan.
Ia menyebabkan DAP berdepan masalah tidak dapat menggunakan logonya pada PRU ke-13 tetapi Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak menyekat parti itu.
DAP kemudian mengadakan pemilihan semula pada 2013, tetapi pada 2014, ROS kemudian memberitahu bahawa pihak mereka masih belum mengetahui kesahihan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP.
Sehubungan itu, Liew mendakwa tindakan ROS terhadap parti itu dianggap bertujuan untuk 'memusnahkan' DAP dengan cara yang paling kejam dan tidak demokratik.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan, Tengku Sariffuddin meminta Liew memberi tumpuan kepada masalah serius dalam DAP berhubung penggunaan logo parti itu PRU akan datang.
Tengku Sariffuddin turut mendakwa DAP tidak demokratik apabila memanipulasi pemilihan parti dan 'Penang Official 1'- yang didakwa merujuk kepada Lim Guan Eng serta bapanya Lim Kit Siang - mengekalkan pemerintahan diktator selama setengah abad ke atas DAP.

1 ulasan:

  1. Umno tahu mrk bakal kehilangan undi cina. Pas jg akan tewas di banyak kawasan bila tak lg dapat undi cina dan bukan islam. Jd solusi mudah bg mrk ialah haramkan dap. Betapa dungunya para strategis najib

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA