Selasa, 18 Julai 2017

Pembangkang tidak perlukan PAS lagi

Pembangkang tidak perlukan PAS lagi, kata bekas ahli
Lebih 1,000 orang terutama penyokong Pakatan Harapan hadir pada program ceramah penjelasan skandal 1MDB di Shah Alam, malam tadi. 
MEREKA yang pernah menyokong PAS pada pilihan raya umum lalu kini jemu dengan sikap parti itu dan berkata parti Islam berkenaan menyimpang daripada objektif asalnya.
Dan penyokong Pakatan Harapan (PH) itu sudah tidak peduli PAS tidak lagi bersama dalam gabungan pembangkang. Mereka menghadiri ceramah mengenai 1MDB anjuran PH, malam tadi yang berjaya menarik kehadiran kira-kira 1,000 penduduk Selangor.
"Saya tak rasa kita akan rindukan kehadiran PAS dalam gabungan pembangkang," kata Zul Al Thalib ketika ditemui The Malaysian Insight pada program ceramah itu.
"PAS boleh cakap mereka juga menentang ketidakadilan, sesiapa pun boleh kata demikian. Tapi akhirnya tindakan itu kita lebih nampak berbanding kata-kata," katanya.
Ceramah semalam bertajuk "Selamatkan Malaysia Hapuskan Kleptokrasi"  merupakan lanjutan jelajah PH, selepas diadakan kali pertama di Penaga, Pulau Pinang.
Jelajah itu menyaksikan kehadiran lebih dari seribu orang yang rata- ratanya merupakan penduduk Shah
Pendapat yang sama turut dikongsi pesara Mohamad Razali Ahmad, 63, yang juga bekas ahli PAS.
Razali kini menyertai Amanah dan berkata nekad keluar parti Islam itu apabila Presiden PAS Abdul Hadi Awang memutuskan hubungan dengan DAP seterusnya menyaksikan pembubaran Pakatan Rakyat yang menggabungkan PAS dengan DAP dan PKR.
"Saya keluar PAS masa Hadi umum tidak lagi kerjasama dengan DAP dan rentetan itu pakatan pembangkang juga dibubarkan.
"Kita keluar kerana amat kecewa, PAS di bawah Hadi sudah tidak ada hala tuju,” katanya.
Katanya, keadaan itu amat berbeza semasa PAS dipimpin Nik Aziz Nik Mat dan Fadzil Noor.
"Saya cukup hormat kepada dua pemimpin ini, cara mereka berdakwah malah menyatukan kaum lain dan boleh duduk sekali.
"Tapi dengan Hadi semuanya nak diputuskan (hubungan),” katanya.
Mohd Alityanis Hamzah, 27, berkata pada awalnya beliau melihat kekuatan gabungan pembangkang terjejas kerana ketiadaan PAS.
Namun pengumuman barisan kepimpinan PH baharu pada minggu lalu mengubah tanggapan itu.
"Saya yakin dengan garapan baharu ini dan harap mereka boleh bersatu untuk membawa perubahan dalam pilihan raya nanti," katanya.

2 ulasan:

  1. Yang rugi Pas. Punca rakyat tolak Pas? Si Bawang punya kerenah....

    BalasPadam
  2. Jangan kata gitu... si anak bawang tu dah macam suci, tiada cacat-cela bagi yang taksub parti cap bulan tu!!

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA