Sabtu, 22 Julai 2017

Pelajar racun kawan kerana tak tahan dibuli

Seorang pelajar sekolah menengah di Sri Aman dikejarkan ke hospital kerana muntah selepas makan mi yang mengandungi racun lipas.
Dev-Kumar_racuh_600
Seorang pelajar lelaki yang meletakkan racun di dalam mi goreng rakannya di Sri Aman, Sarawak mendakwa dia berbuat demikian kerana tidak tahan dibuli mangsa.
Datuk kepada pelajar berusia 13 tahun itu mendakwa, mangsa rakan sekelasnya itu juga sering meminta wang dan makanan daripada cucunya.
Dipetik BH Online, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, datuk pelajar yang menjadi suspek kes itu membuat laporan di Balai Polis Sri Aman 5 petang semalam, mendakwa tindakan cucunya itu adalah tindak balas terhadap perbuatan mangsa.
Katanya, polis akan menjalankan siasatan berhubung laporan itu sama ada ia mempunyai kaitan dengan kejadian keracunan makanan yang dilakukan suspek.
Menurut laporan itu, seorang pelajar sekolah menengah di Sri Aman dikejarkan ke hospital kerana muntah selepas makan mi yang mengandungi racun lipas, kelmarin.
Kejadian kira-kira 9.30 pagi itu menyebabkan mangsa terpaksa menerima rawatan di Hospital Sri Aman.
Suspek yang juga rakan sekelasnya ditahan polis pada 2.30 pagi semalam susulan laporan polis yang diterima daripada bapa mangsa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 328 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan racun dan suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA