Khamis, 27 Julai 2017

Peguam Negara digesa segera heret individu terbabit penyelewengan Felda



Pengerusi Biro Felda Kebangsaan PKR, Shamsul Iskandar Md Akin mencabar Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengheret individu-individu yang terlibat dalam penyelewengan Felda.
Shamsul Iskandar Akin"Kita masih lagi menanti-nanti apakah tindakan yang akan diambil khususnya agensi penguatkuasaan seperti SPRM?
"Saya ingin mencabar peguam negara untuk segera mendakwa individu-individu yang terbabit di dalam penyelewengan Felda  sekiranya terdapat bukti yang kukuh untuk dibawa ke muka pengadilan.
"Saya percaya itu sebenar-benarnya yang ditunggu-tunggu peneroka selain daripada mekanisme untuk memastikan beban hutang, kos untuk tanam semula, kos operasi Felda itu dapat ditangani dengan baik dan tidak terus membebankan peneroka," katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas berkaitan kemelut Felda Global Ventures (FGV) yang masih lagi dalam siasatan SPRM dan pada 10 Julai suruhanjaya itu telah membuka satu kertas siasatan baru berkaitan Felda bagaimanapun hasil siasatan masih belum diumumkan.
Ahli Parlimen Bukit Katil ini juga turut membidas pemberian insentif khas RM5000 kepada 94,956 keluarga peneroka Felda di seluruh negara sewaktu masalah perumahan mereka masih belum selesai.
Beliau  berkata, generasi kedua dan ketiga Felda masih lagi berhadapan masalah perumahan walaupun pada Pilihan Raya Umum ke-13 Putrajaya memberikan insentif RM15,000 kepada setiap peneroka.
"Janji PM selain pemberian RM15,000 adalah soal perumahan generasi kedua dan kita tahu ia tidak berjalan mengikut perancangan. Banyak rumah-rumah yang dibina tetapi tidak mampu dimiliki oleh generasi kedua dan ketiga," katanya.
Pada Ahad lalu Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak mengumumkan pula enam insentif untuk peneroka dan warga Felda antaranya bentuk pelupusan hutang, bayaran insentif, kewujudan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA