Isnin, 3 Julai 2017

PAS: Matlamat 40 Kerusi Hanya Berjaya Jika Tidak Bersama PKR


Oleh Alang Ibn Shukrimun
Walaupun muktamar PAS telah sebulat suara bersetuju untuk memutuskan hubungan tahaluf dengan PKR, dan Majlis Syura juga telah memutuskannya, namun masih ada pihak tertentu yang mengharap agar persefahaman berlaku dengan PKR menjelang PRU14 nanti. Alasan yang digunakan adalah tiada tahaluf tidak bermakna bermusuh dan tidak boleh bersefahaman untuk pilihanraya. Selain itu alasan 1 lawan 1 masih digunapakai walaupun PAS sudah meneroka situasi baharu sejak 2015.
Sepatutnya kita perlulah melihat tentang sebab putus tahaluf itu dibuat. Bukan sekadar sikap mereka di peringkat nasional sahaja yang kelihatan bercanggah dengan PAS, tetapi keluhan ahli di peringkat bawahan akar umbi juga berlu diambil kira. Daripada apa yang diutarakan dalam mesyuarat agung samada di peringkat cawangan, kawasan, juga muktamar dewan-dewan dan pusat sendiri, rata-ratanya ahli menyebut tentang masalah ketika menghadapi pilihanraya antara sebelum, semasa dan selepas. Ramai ahli diperingkat akar umbi sangat bergembira dengan keputusan putus tahaluf ini kerana mengenangkan pengalaman pahit bersama dalam siri-siri PRU lepas. Kembali bersefahaman dengan PKR walau untuk PRU hanya akan menyebabkan ahli di akar umbi kecewa dengan sikap parti. Bimbang mereka yang kurang tarbiah akan protes dan tidak bekerja dalam PRU14 nanti. Jangan ingat semua ahli boleh patuh semua keputusan. Kena ambil kira pertambahan ahli baru yang banyak ini masih belum sempat ditarbiah lengkap. Kena ambil kira juga pertambahan sokongan mendadak terhadap PAS bermula pasca penyingkiran pemimpin-pemimpin berwala` PKR dan DAP.
Apapun, perkara asas yang perlu dilihat dalam menilai persefahaman bersama PKR dalam PRU14 nanti mestilah diukur dengan matlamat parti dalam PRU14 nanti. Sebarang bentuk strategi yang tidak dapat mencapai matlamat mestilah ditolak.
Matlamat PAS jelas sebagaimana yang sering disebut oleh presiden, bagi menjadi king-maker dengan menawan 40 kerusi parlimen, dan juga mahu memenangi lima buah negeri sekurang-kurangnya. Matlamat ini tidak pernah berubah dan diubah. Justeru strategi kita perlulah dalam rangka menjayakan matlamat tersebut.

Bersefahaman dengan PKR bukanlah langkah yang baik. Ini kerana kerusi PKR kebanyakannya adalah kerusi yang diperlukan oleh PAS untuk menjayakan matlamat 40 kerusi dan 5 negeri. Dan kerusi PKR itu pun asalnya adalah kerusi-kerusi yang ditandingi PAS sebelum wujudnya PKR!
Bersefahaman dengan mereka adalah bermaksud memberi laluan kepada PKR untuk bertanding di kerusi-kerusi tersebut, dan secara automatiknya akan mengorbankan sejumlah kerusi dari 40 kerusi sasaran.
Tuan Guru Presiden menyebut 40 kerusi bukan main cakap lepas sahaja. Tentulah ia berasaskan kajian lengkap di setiap kerusi-kerusi berpotensi. Kalau sekadar mahu jadi king-maker, sebenarnya 10 kerusi pun sudah cukup seperti yang berlaku di UK sekarang. 40 kerusi itu semestinya kerusi berpotensi menang dengan jumlah sokongan mengikut taburan kaum dan juga kekuatan jentera.
PAS akan fokus di kerusi dominan melayu sebagaimana sebelum ini kerana di sanalah kekuatan sebenar PAS. Maka tidak menjadi satu keperluan untuk bersefahaman dengan PKR kerana mereka tidak memiliki jumlah sokongan yang signifikan dari bangsa melayu untuk membantu undi kita.
Bahkan sebenarnya mereka memang tidak ada pengundi teras seperti PAS, BN atau DAP! Mereka selama ini hanya menumpang sokongan melayu dari penyokong PAS dan sokongan bukan melayu dari penyokong DAP.
Kajian terkini juga memperlihatkan penambahan sokongan pengundi melayu kepada PAS begitu ketara sekali. Begitu juga penurunan sokongan bukan melayu terhadap DAP juga sangat besar. Perkara ini harus diambil iktibar menjelang PRU14 nanti.
Sudahlah kerusi tradisi PAS di kawasan dominan melayu hampir pasti akan diganggu oleh PAN, kerusi yang dituntut PKR pula kita mahu beri laluan selesa kepada mereka. Rundingan dengan PKR hanya menyebabkan PAS rugi berganda, sedangkan PH secara umum untung berganda pula.
Rundingan dengan PPBM pula tampak seperti tidak menguntungkan apa-apa. Yang untung hanya jika PPBM tidak bersama PH, bukan PPBM bersama PAS kerana ia pasti melibatkan pembahagian kerusi. Lagipun Mahathir masih menjadi pemimpin de facto PPBM. Sikapnya dari dulu sehingga kini jelas bertentangan dengan matlamat Islam yang diperjuangkan PAS.
Bolehkah kita percaya dengan PKR atau PPBM, sedangkan mereka adalah sekutu rapat dengan musuh-musuh politik PAS dalam PH? Sudah tentu mereka punya agenda lain dibelakang walaupun tidak mempunyai apa hubungan secara langsung dengan PAS?
PAS sepatutnya memanfaatkan pakatan bersama Gagasan Sejahtera dengan sebaiknya. Walaupun parti-parti lain yang bersama Gagasan adalah kecil, tetapi jumlah mereka sangat signifikan dalam membantu PAS. Contohnya Ikatan, boleh menarik sebahagian ahli Umno yang protes. Berjasa pula boleh menarik undi melayu yang sangat anti-cauvinis DAP. PCM, mereka boleh bawa undi protes Cina kepada DAP. NGO-NGO lain mampu mempengaruhi ahli dan penyokongnya untuk bersama PAS sebagaimana NGO-NGO cina mempengaruhi ahlinya untuk memilih samada BN atau DAP.
Situasi PRU13 sangat berbeza dengan situasi PRU14. Waktu itu belum ada isu RUU355. Waktu itu Muhyidin dan Mahathir masih bersama Umno. Waktu itu DAP masih belum terpalit isu penyelewengan dan kristianisasi. Justeru adalah sangat dangkal jika kita memilih strategi menghadapi PRU14 nanti hanya dengan berbekalkan data-data keputusan dan strategi PRU13 sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA