Khamis, 27 Julai 2017

PAS kata ada ahlinya bermasalah

PAS menganggap sebahagian ahlinya yang keras dan lantang menyebarkan fahaman parti itu sehingga menggunakan bahasa melampau sebagai individu bermasalah.
Anggota Jawatankuasa (AJK) Pusat PAS, Dr Azman Ibrahim menegaskan, parti berkenaan tidak pernah berkata seseorang yang tidak mengikut mereka sebagai munafik.
"PAS tidak pernah berkata, sesiapa yang tak sokong (usul pindaan) Akta 355 apabila mati, kena tanam di jirat.
"PAS tak pernah mengarahkan ahlinya tidak memakan sembelihan orang Umno.
"PAS tak pernah kata, sesiapa tak mengikut PAS maka dia tak masuk syurga," katanya melalui kenyataan terbuka di Facebook hari ini.
Dr Azman yang juga timbalan yang dipertua PAS Setiu berkata begitu sehari selepas Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin membidas pihak - yang tidak dinamakan secara khusus - dalam siri kuliahnya.
Kata Mohd Asri, keadaan adalah berbahaya apabila Islam digunakan sebagai alat kepada parti politik.
Tak larang pergi masjid
Walaupun politik ada dalam Islam, katanya, menggunakan agama untuk parti politik adalah tidak dibenarkan.
"Kerana berbeza parti, sembahyang (berasingan), kerana beza parti tak makan sembelihan. Ahli sunnah apa tu?
"Semalam kita kafirkan (parti lain), hari ini (ia) jadi setinggi-tinggi darjat.
"(Kononnya) siapa tak ikut parti saya, dia tidak memperjuangkan Islam. (Jadi) munafik. Dia telah menjadikan parti sebagai agama.
"Apa jadi yang mati dulu, yang bercerai dulu, yang tak makan sembelihan, berpisah (antara) keluarga. Apa jadi?" katanya.
Dr Azman berkata PAS tidak pernah mengarahkan ahlinya supaya jangan pergi ke masjid yang imamnya orang Umno atau melarang ahli parti daripada berkahwin dengan orang Umno.
"Kita perlu bezakan antara pendirian dan keputusan parti dengan tindakan beberapa orang individu yang bermasalah dalam parti," katanya.
Untuk rekod, pada 2016 seorang pemimpin PAS peringkat kawasan di Kedah pernah memberi amaran kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah supaya menyokong rang undang-undang persendirian dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Juara isu kafir
Presiden PAS itu mencadangkan supaya pindaan dibuat ke atas Akta 355 yang juga dikenali sebagai Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
Kata Shaharuddin Ibrahim, kegagalan Dr Wan Azizah mengangkat tangan menyokong usul meminda Akta 355 itu boleh menyebabkan ketua pembangkang berkenaan ditanam di jirat Cina.
Shaharuddin juga pernah mendakwa dalam ceramahnya, Pulau Pinang mengharamkan azam berkumandang di negeri berkenaan. Bagaimanapun dia sudah meminta maaf atas kenyataan berkenaan.

Suatu ketika dulu pula bekas AJK Pusat PAS, Norazli Musa, pernah berceramah dengan mengaitkan kelayakan seseorang memasuki syurga dengan keanggotaan mereka dengan partinya.
Pada 26 Mei lalu pula bekas ketua pemuda PAS Pulau Pinang dilaporkan melarang ketua menteri negeri itu berbuka puasa dengan orang Islam, atau perlu menganut Islam sebelum boleh dibenarkan berbuat demikian.
Akhir Mei lalu Yang Dipertua PAS Gombak, Salehhuddin Nasir, menyatakan rasa "menyampah" dengan program berbuka puasa bersama pemimpin DAP.
Perkembangan itu mendorong Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengeluarkan kenyataan meminta anggota parti terbabit supaya berhati-hati dalam tulisan masing-masing.
Kata Dr Azman, ada beberapa individu dalam PAS yang menjadi juara isu kafir-mengkafir suatu ketika dulu, akhirnya menyertai Umno dan mati sebagai ahli parti itu.
"Tindak-tanduk dan perlakuan segelintir individu bermasalah dalam parti tidak boleh sama sekali dinisbahkan kepada PAS.
"PAS sebuah parti besar yang menerima keahlian daripada pelbagai peringkat dan latar belakang.
"Sebahagian daripada mereka tak mampu menghadam dengan baik segala dasar dan strategi parti," katanya.

3 ulasan:

  1. Tengok dulu perangai tuang presideng. Ramai org dah meluat dgn perangai dia.

    BalasPadam
  2. Tuang presiden sepatutnya diminta bersara sbb dah tua dan tak larat dah.

    BalasPadam
  3. Ye ker...yg aku tengok...ahli2 yg bermasalah tu adalah kebanyakan pemimpin2 PAS sekarang....dan fahaman sesat larat demer cuber dipaksa org mengikutnyer.....

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA