Khamis, 20 Julai 2017

Parti politik perlu lihat sentimen, isu utama pengundi untuk menang PRU,kata Rafizi


Rafizi Ramli
Sudah tiba masanya parti-parti politik di negara ini melihat kepada sentimen pengundi terhadap isu utama sekiranya parti-parti politik seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Pas mahu mendapat sokongan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
Pengasas Centre for Policy Initiatives (Invoke) Rafizi Ramli melalui kajiselidik berkaitan Sentimen Pengundi dan Isu-isu Utama PRU-14 ke atas 17,107 responden mendapati isu ekonomi sebagai isu utama mengatasi skandal dan rasuah dengan nisbah 5:1.
"Tiga isu yang paling penting untuk pengundi ialah kos sara hidup dan harga barang meliputi GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) dan subsidi minyak dan gaji yang dirasakan tidak naik setimpal dengan kenaikan harga barang serta; lambakan pekerja asing yang dirasakan menyempitkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
"Tiga isu ini sebagai isu 'ekonomi' rakyat adalah jauh lebih penting bagi responden berbanding isu penyelewengan 1MDB dan rasuah semata," ujarnya dalam sidang media mengumumkan dapatan Kajiselidik Sentimen Pengundi dan Isu-isu utama Pilihan Raya Umum ke-14, di Ibu pejabat Invoke, Sungai Besi hari ini.
Kajiselidik itu dijalankan dari 5 Jun hingga 14 Julai 2017 itu telah dilakukan dikalangan 160,761 orang pengundi dengan cara mendail rawak melalui sistem berkomputer Invoke dan sebanyak 17,107 orang pengundi (respoden) telah menjawab penuh enam soalan yang ditanya.

Rafizi yang juga Naib Presiden PKR itu berkata, berdasarkan sentimen pengundi terhadap tiga isu utama tersebut dapatan kajiselidik menunjukkan BN gagal menangani tiga isu tersebut dengan baik, menunjukkan sokongan pengundi Melayu sebenarnya, sudah pun berpihak kepada Pakatan  Harapan .
"Dalam tiga isu itu sahaja sebenarnya sokongan pengundi Melayu sudah berpihak kepada Pakatan Harapan.
"Ini dibuat sebelum pengumuman PH pada 13 Julai lalu dan survey ini berakhir pada 14 Julai.
"Kedudukan undi Melayu hampir setara diantara BN sebanyak 35% dan PH 36% peratus.
"Sokongan 35%  kepada BN ini juga adalah  konsisten dengan semua kajiselidik yang dijalankan setiap bulan sejak Disember 2016 adalah konsisten menunjukkan sokongan pengundi Melayu.
"Yang berbeza adalah PH dan Pas bergantung kepada kalangan mereka yang tidak mahu jawab semua atau sebahagian soalan iaitu dikalangan pengundi atas pagar sebanyak 31% yang belum membuat keputusan.
"Manakala kedudukan pengundi Cina 23% dan India 10% dilihat menyerupai pola pengundi dalam PRU13 lalu mengambil kira pengundi yang belum membuat keputusan," ujarnya. (Lihat carta Pai di bawah)

Peluang PH menang PRU-14
Rafizi menjelaskan, dengan tahap sokongan seperti ini setakat Julai 2017 ada kemungkinan BN akan tewas dalam PRU14 jika PH berjaya mencari penyelesaian kepada tiga isu utama rakyat.
"Dengan tiga isu ini sahaja jika PH berjaya menawarkan penyelesaian yang boleh diterima rakyat PH tiada masalah untuk menang pilihan raya.

"Ini bukan zaman seperti dulu untuk umunkan manifesto. Ini perdebatan dasar dan penyelesaiannya perlu dibincangka setiap hari sebab itu saya selalu sebut tidak perlu menunggu sehingga manifesto PH, ia boleh mengulangi ide atau rancangan untuk menambah baik kehidupan rakyat dalam tiga perkara itu.
"Jangan selalu terheret hanya pada isu 1MDB semata-mata yang paling penting menjawab soalan rakyat jika dilakukan berterusan dikalangan pemimpin politik dan akhirnya akan menjadi manifesto kepada PH.
"BN juga turut sengsara dalam tiga isu ini kerana jawaban-jawaban yang diberikan menteri-menteri kabinet Najib misalnya tidak menyelesaikan masalah rakyat sebaliknya menimbulkan kemarahan rakyat.
"Jika komunikasi BN itu lebih mesra dan lebih peduli untuk menyakinkan rakyat seperti memansuhkan GST atau menaikkan gaji sebenarnya,itu yang dimahukan dan didengar oleh pengundi daripada mendengar berceramah," ujarnya.
Ditanya sama ada tiga isu utama itu akan dapat diatasi kerajaan menjelang pembentangan Bajet pada Oktober depan, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan tidak menafikan ia akan mengubah peratusan sokongan di atas pagar.
"Saya setuju. Dapatan kajiselidik ini sebenarnya lontaran kepada BN, PH dan Pas berkaitan isu utama rakyat hari ini.
" Mana-mana parti yang berjaya menarik minat pengundi atas pagar sudah tentu dapat sokongan mereka.
"BN ada kelebihan kerana boleh ada banyak cara sama ada bagi gula-gula, turunkan GST atau kembalikan subsidi dalam pembentangan bajet mereka. Kalau BN ambil kira sentimen rakyat dan menjawab keresahan rakyat bawahan ada kemungkinan besar dalam tempoh yang berbaki ini sebelum PRU, BN boleh mengurangkan peratusan sokongan pengundi atas pagar.
"Ia bergantung kepada mana-mana parti untuk menerima dapatan ini (kajiselidik ini)," ujarnya.
Menurut Rafizi lagi, senario politik yang berubah secara mendadak sejak 2015 telah mewujudkan persaingan politik di antara tiga pakatan politik seperti BN,PH dan Pas.
Justeru ujarnya, senario hari ini tidak boleh dijadikan perbandingan dengan pilihan raya sebelumnya.
Membuat kajiselidik berkaitan dengan kefahaman mengenai sentimen pengundi terhadap isu-isu utama yang diperdebatkan oleh parti politik yang akan bertanding adalah penting untuk meraih kemenangan bagi parti masing-masing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA