Jumaat, 7 Julai 2017

Parti baru pro-BN mahu tanding di Selangor, Wilayah Persekutuan

Parti baru yang diasaskan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) berhasrat untuk bertanding di Selangor dan Wilayah Persekutuan pada pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun, Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira) Mohd Ridzuan Abdullah enggan mendedahkan kawasan yang akan ditandingi parti itu kerana masih menunggu kelulusan pendaftaran daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS).
"Kita tunggu kelulusan ROS dulu baru kita akan umumkan kawasan mana yang akan kita bertanding," katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu negara hari ini.
Mohd Ridzuan turut memberitahu, sehingga hari ini pihaknya masih belum mendapat maklum balas daripada ROS berhubung permohonan parti baru itu.
Justeru, ketika ditanya sekiranya parti tersebut tidak mendapat kelulusan, Ridzuan berkata, beliau bersama anggota Pekira akan berkumpul di hadapan bangunan ROS.
"Kita dah hantar borang ke ROS sejak bulan Mei. Kita masih menunggu kelulusan pihak ROS. Setakat ini belum dipanggil lagi.
"(Jika ROS tak luluskan) kita akan kumpul beramai-ramai di hadapan ROS dan akan desak kenapa tak nak luluskan," katanya.
Selain itu, Ridzuan memaklumkan, Pekira kini telah mempunyai seramai 10,000 anggota parti. Malah, beliau turut menyasarkan 200,000 anggota di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.
"Sehingga hari ini kita dah capai 10,000 keahlian yang telah sertai Pekira. Kita sasarkan sebelum Disember tahun ini, lebih kurang 200,000 ahli di seluruh negara.
"Kita tidak akan curi mana-mana ahli parti lain. Ahli kita ialah orang yang atas pagar dan tidak pernah menyertai mana-mana parti," katanya lagi yang turut berjanji bahawa parti berkenaan akan mewujudkan pelbagai program bagi meningkatkan kos sara hidup.
Menurut Ridzuan lagi, anggota Pekira kebanyakannya terdiri daripada peniaga serta golongan muda yang berumur di bawah 40 tahun.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan, parti baru Pekira itu akan turut membantu BN memenangi pilihan raya umum ke-14.
Ridzuan turut dilaporkan berkata, pihaknya juga telah memaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung hasrat partinya itu untuk membantu BN.

3 ulasan:

  1. Parti satu musim pru macam ini boleh balik awal. Mesti buang masa dan membazir wang pertaruhan sahaja.

    BalasPadam
  2. Kira² masuk duit blahhh je lah

    BalasPadam
  3. Siapa nak cepat jd kaya tubuhlah parti cap ayam segera. Lps tu boleh nego brp kira

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA