Isnin, 24 Julai 2017

'Parlimen tutup isu dakwaan bayaran PM pada risikan'

Terdapat usaha parlimen untuk menutup dakwaan pembayaran yang dilakukan perdana menteri kepada "ketua perisikan tentera", kata Anggota Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung.
Gooi yang kesal apabila soalannya ditolak berkata, hal yang sama turut berlaku terhadap soalan berkaitan 1MDB.
"Semua soalan yang berkaitan dengan 1MDB dan PM tidak dibenarkan sama sekali. Dewan itu bukan lagi sebuah Dewan Rakyat, tetapi digunakan untuk menutup dan menyembunyikan salah laku oleh kerajaan," kata Gooi kepada Malaysiakini.
Gooi ingin bertanya kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sama ada dakwaan Sarawak Report bahawa Najib membayar RM7 juta kepada "Ketua Pengarah Bahagian Perisikan Pertahanan" pada April 2013 adalah benar atau palsu.
Sekiranya dakwaan itu tidak benar, Gooi bertanya apa tindakan yang akan diambil oleh menteri untuk melindungi integriti pasukan keselamatan itu daripada tercemar.
Bagaimanapun, soalannya ditolak di bawah Peraturan Mesyuarat 23 (1) (c).
Hishammuddin sebelum ini berkata beliau tidak menyembunyikan apa-apa mengenai perkara itu dan bersedia untuk disiasat. Pada masa pembayaran itu dikatakan berlaku, Menteri pertahanan ketika itu ialah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Sarawak Report mendakwa siri bayaran ini menggunakan wang yang dipindahkan kepada Najib daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.
Soalan-soalan lain mengenai siri bayaran ini juga telah ditolak oleh Parlimen.
Ini termasuk soalan daripada ketua pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang bertanya perdana menteri sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) telah memulakan siasatan ke atas peguam Tan Sri Shafee Abdullah.

Najib didakwa telah membayar Shafee sebanyak RM9.5 juta dengan dana berkaitan SRC, selaku pendakwa dalam perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Najib secara konsisten menafikan menyalahgunakan dana awam, manakala peguam negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada tahun lalu telah membersihkan perdana menteri daripada sebarang salah laku berhubung SRC International.
Anggota parlimen pembangkang hari ini mendakwa Parlimen telah menolak 30 soalan berkaitan 1MDB dan SRC.
Gooi bertanya apa bentuk kerjasama yang diberikan oleh kerajaan kepada pihak berkuasa di luar negara yang menyelidik 1MDB.
Bagaimanapun, soalannya ditolak di bawah Peraturan Mesyuarat 23 (1) (c) dan (f)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA