Khamis, 6 Julai 2017

Panglima kenit Najib buka langkah, Zhuge Liang DAP sekadar tersengih

Ada sesuatu yang sangat tidak kena dengan kempen terbaru pejabat Perdana Menteri dalam memetik kembali isu pembatalan pendaftaran DAP serta ‘ugutan’ larangan menggunakan lambang roket dalam pilihanraya umum akan datang.
Bukan ugutan itu yang tidak kena, tetapi cara ia disampaikan, agak sedikit meresahkan. Ancaman-ancaman demikian memang tidak asing lagi. DAP memang makan ancaman dengan telur separuh masak setiap pagi. Maka ia tidak hairan.
Yang buat kita hairan sebenarnya ialah, apa kejadah yang Tengku Sariffuddin ini gigih betul menyerang dengan kenyataan media tengah-tengah malam selepas deadline akhbar cetak, dan ditulis pula dalam bahasa Inggeris.
Untuk sedikit konteks, Yang Mulia Setiausaha Akhbar PM ini bertindak mengeluarkan suatu kenyataan akhbar lewat tengah malam 1 Julai, sekitar jam 11 malam; bagi menjawab beberapa bacaan politik Zhuge Liang DAP merangkap Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong. (Sila google sendiri siapa itu Zhuge Liang)
Chin Tong, pada petang Jumaat lalu, mengeluarkan analisa tentang kegagalan perancangan Najib Razak. Analisa panjang lebar tersebut antara lain mendedahkan maklumat yang telah sampai kepada beliau tentang keyakinan Najib Razak untuk membubarkan Parlimen pada bulan September atau Oktober.
Bahkan Najib begitu yakin sehingga sanggup menggugurkan beberapa orang Menteri Besar, Ketua Menteri dan menteri-menteri senior UMNO dalam pilihanraya umum akan datang. Tujuh kesemuanya, kata Chin Tong.
Namun, punyalah terlebih yakinnya Najib Razak ini sehingga beliau ingin cuba menukar kepala kerajaan di Sabah, Johor dan Melaka. Malah berani untuk mengenepikan anggota kabinetnya sendiri, termasuk Timbalannya Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Mansor.
Dahi Zahid Hamidi ditunjal apabila sepupu Najib sendiri diangkat sebagai ‘Menteri Tugas-tugas Khas’ April lalu. Dan pergelutan di Jabatan Perdana Menteri pun mula rancak.
Itu antara lain bacaan politik Chin Tong yang pastinya dibuat hasil maklumat yang beliau cerna daripada sumber-sumber dalam dan luar UMNO yang kini sedang menyaksikan acara laga lembu paling senyap dalam sejarah politiknya. Gerombolan yang telah keluar UMNO dan masuk parti cap bunga raya pimpinan Tun Dr Mahathir pastinya telah mencurahkan isi hati dan perut masing-masing kepada sang Zhuge Liang, dan beliau pun menyusun bacaan politiknya.
Bacaan tersebut telah menyentap urat hati Perdana Menteri pastinya. Jika tidak, masakan beliau yang sedang tenang bercuti di Bali (dan kemudian khabarnya di Perth) perlu menyuruh Setiausaha Akhbarnya supaya membuat serangan tengah malam 1 Julai terhadap bacaan politik Chin Tong itu.
Seperti biasa, apabila UMNO diserang, yang disuruh menampan serangan adalah panglima-panglima kenit dahulu. Sedang seronok beraya, disuruh tulis sekeping kenyataan media lima perenggan buat menangkis dakwaan panjang lebar dengan berbekalkan taktik lama, menjawab soalan dengan soalan lain.
Sariffuddin menyuruh Chin Tong berhenti menyebarkan ‘berita palsu’ tentang kerajaan pada perenggan pertama. Kemudian disuruh tumpu kepada persoalan sama ada DAP akan dibenarkan mengguna pakai lambang roket pada PRU akan datang.

Ini kelakar sekali. Penat sahaja tulis kenyataan lima perenggan tengah malam buta; tapi satu persoalan pun tidak dijawabnya. Main ugut-ugut pula.
Lebih kelakar lagi, panglima kenit Perdana Menteri ini jelas tidak membuat kerja rumah barang sedikit pun sebelum melancarkan serangan balas.
Beliau sepatutnya tahu, kerana memang kerjanya untuk ambil tahu, bahawa pada September 2014, Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sudah pun mengalah di mahkamah.
Selepas 21 bulan ROS datang tengah-tengah malam ke ibu pejabat DAP dan menimbulkan keresahan tentang penggunaan lambang roket pada pilihanraya umum ke-13, ROS bersetuju bahawa Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP yang dilantik pada 29 September 2013 adalah sah dan boleh melaksanakan tugas.
Kemelut CEC DAP bermula selepas keputusan pemilihan DAP dalam kongresnya pada tahun 2012 tidak diiktiraf ROS lantaran kesilapan teknikal. DAP kemudiannya melakukan pemilihan semula pada 29 September 2013 berdasarkan saranan pihak ROS.
Semakan kehakiman yang difailkan oleh DAP di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ditarik semula apabila peguam-peguam mewakili ROS bersetuju bahawa surat yang dikeluarkan terhadap DAP adalah tidak mengikat, dan ROS mengiktiraf CEC DAP yang telah dilantik melalui pemilihan semula tersebut.
Takkanlah ini pun Tengku Sariffuddin tidak ambil tahu? Atau memang bukan beliau yang menulis kenyataan media itu? Jeng jeng jeng…
Ini satu lagi episod menarik dalam cerekarama Jabatan Perdana Menteri. Khabarnya, Tengku Sariffuddin ini sebenarnya tidaklah begitu bagus penguasaan bahasa inggerisnya. Demikian kata pengamal media yang turut mendakwa bahawa kenyataan bersiri itu tidak ditulis oleh beliau sendiri, malah dengan bantuan seorang ‘mat saleh’.
Ini ditegaskan oleh Chin Tong sendiri yang berkongsi paparan kenyataan tersebut di media sosial dan berkata bahawa beliau percaya ia ditulis oleh ‘konsultan mat saleh’. Ini katanya kerana kejanggalan kenyataan terbabit yang merujuk Perdana Menteri di kepala dokumen dengan nama sahaja tanpa gelaran. Seakan-akan penulisnya tidak faham protokol.
Ini yang menyebabkan kita tertanya-tanya. Dah kenapa gigih benar si panglima kenit menyerang tengah-tengah malam ketika orang semua sedang terbongkang kenyang makan di rumah terbuka hari raya. Adakah panglima kenit tidak beraya?
Adakah juga panglima kenit tidak sedar bahawa beliau telah selamba memintas bidang tugas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menteri yang bertanggungjawab ke atas Jabatan Pendaftar Pertubuhan, yang baru semalam dilaporkan berkata supaya jangan ada spekulasi tentang pembatalan pendaftaran DAP?
Rancak betul UMNO ni bertikam nampaknya. Marilah kita sama-sama tepuk tangan sambil kunyah bertih jagung. Sikit hari lagi melingkup lah tu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA