Rabu, 12 Julai 2017

Pakatan Harapan dijangka tawan Putrajaya menerusi kerusi marginal


Pakatan Harapan dijangka akan menang mudah di kerusi marginal yang dikenalpasti di Semenanjung yang dimenangi Umno-Barisan Nasional (BN)  dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu untuk menawan Putrajaya.
Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata dapatan hasil kajiselidik yang dilakukan INVOKE itu, dengan meningkatkan kempen secara tersusun di kerusi-kerusi marginal, Pakatan Harapan boleh memenangi PRU14 kelak.
"Kempen Pakatan Harapan mesti lebih berfokus dan bijak dengan menumpukan kepada sasaran pengundi yang tepat, isu yang tepat dan kerusi-kerusi Parlimen yang tepat.
"Pantauan sentimen pengundi yang dibuat oleh INVOKE (yang menelefon pengundi setiap hari) menunjukkan Pakatan Harapan kini mendahului di 97 kerusi Parlimen sementara Barisan Nasional mendahului di 125 kerusi Parlimen yang lain jika pertandingan 3 penjuru berlaku.
"Ini bermakna, jika pilihanraya dipanggil hari ini, Dato’ Seri Najib hanya menang dengan majoriti 13 kerusi (melebihi majoriti mudah 112 kerusi) yang hampir pasti menyebabkan beliau digulingkan dari dalam Umno sendiri.
"Oleh sebab itu, saya mengambil tugas untuk memberi tumpuan khusus di kerusi-kerusi marginal yang dikenal pasti di Semenanjung," ujarnya dalam kenyataan.
Rafizi RamliAhli Parlimen Pandan ini juga berkata menerusi INVOKE beliau telah mengenalpasti kebanyakan pengundi atas pagar sedia maklum mengenai skandal 1MDB dan tuduhan penyelewengan dana awam yang dikaitkan dengan perdana menteri.
Bagaimanapun ujarnya pengundi atas pagar sebenarnya lebih tertarik kepada isu-isu yang mempunyai kesan langsung kepada kehidupan seharian mereka.
"Kenaikan harga barang yang dikira tidak terkawal  sebab itu rata-rata pengundi atas pagar mahukan GST dimansuhkan dan subsidi minyak dikembalikan
"Kenaikan gaji yang rendah dan tidak setimpal dengan kenaikan harga barang
"Lambakan pekerja asing yang dirasakan menyempitkan peluang pekerjaan yang ada kepada pekerja tempatan," ujarnya.
Justeru beliau bersama pimpinan Pakatan Harapan telah pun memulakan kempen khusus di 50 kerusi-kerusi yang dikategorikan sebagai marginal bermula di Johor Bharu pada hari Ahad yang lalu.
Menerusi kempen 'Bina Semula Negara' ujarnya lagi, turut akan menjelajah ke utara tanah air pada 15 dan 16 Julai ini yang mana maklumat lanjut berkaitan kepen ini boleh diperolehi di laman INVOKE.
"Saya yakin dengan momentum yang dibina di Johor Bharu, Pakatan Harapan akan berjaya memenangi 50 kerusi marginal yang dikenal pasti untuk membentuk kerajaan di Putrajaya kelak." ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA