Rabu, 26 Julai 2017

P Pinang setuju tandatangani IBR bersama 10 ikrar integriti

Kerajaan negeri Pulau Pinang akan menjemput Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad ke majlis Ikrar Bebas Rasuah di Komtar pada Jumaat ini.
Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, kerajaan negeri telah bersetuju untuk menandatangani ikrar itu, termasuk syarat 10 langkah integriti kerajaan negeri.
"Ini menunjukkan keikhlasan dan komitmen kami untuk memerangi rasuah serta tidak membenarkan perkara ini dimanipulasikan oleh media yang dikawal oleh BN terhadap politik Pulau Pinang," katanya.
SPRM boleh menganjurkan acara itu di Pulau Pinang atau melaksanakannya dengan kerajaan negeri, tambah Lim.
10 langkah integriti itu termasuk mengamalkan prinsip kecekapan, akauntabiliti, dan ketelusan (CAT), mengamalkan tender terbuka yang berdaya saing dan pengisytiharan aset oleh ketua menteri, exco dan wakil rakyat.
Selain itu, anggota pentadbiran dilarang mendapatkan kelulusan tanah negeri, keluarga mereka tidak boleh melakukan perniagaan atau mendapatkan kontrak dari kerajaan negeri dan tidak dibenarkan menerima "sumbangan" peribadi.
Selain itu perlindungan penuh kepada pemberi maklumat, peruntukan undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin kerajaan yang hidup di luar kemampuan dan ketelusan dalam sumbangan politik.
Dalam satu kenyataan, Lim berkata beliau tidak menyedari bahawa kerajaan negeri perlu memulakan hubungan dengan SPRM seperti yang biasa dilakukan antara agensi kerajaan.
Beliau bertanya mengapa SPRM tidak memaklumkan kerajaan Pulau Pinang melalui telefon atau e-mel untuk menandatangani ikrar itu tanpa sebarang paksaan.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan negeri tidak mempunyai masalah untuk secara sukarela menandatangani ikrar itu melibatkan semua anggota pentadbiran, anggota dewan undangan negeri dan anggota parlimen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA