Rabu, 5 Julai 2017

Nurul Izzah gesa Putrajaya ambil langkah pertahankan Yusuf Al-Qaradawi


Nurul Izzah dan Dr Yusuf Al Qaradawi
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mendesak kerajaan dan Pas tidak mengambil sikap berdiam diri tanpa melaksanakan langkah sewajarnya untuk mempertahankan ulama tersohor dunia Islam Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi.
Beliau berkata, Dr Yusuf Al-Qaradawi yang disenaraikan sebagai  pengganas oleh beberapa negara Islam di Timur Tengah itu pada Jun lalu, sewajarnya, mendapat pembelaan kerajaan Malaysia dan parti yang dasarnya memperjuangkan Islam itu.
"Saya mendesak kerajaan Malaysia yang pernah menganugerahkan gelaran Tokoh Maal Hijrah kepada Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradawi untuk bangun membantah tindakan pihak berkuasa Mesir yang dipimpin menerusi kudeta oleh Presiden Abdel Fattah el-Sisi.
"Sikap kebertanggungjawaban ini wajar dipamerkan oleh Perdana Menteri, Institusi Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), mahupun Parti Islam Se-Malaysia (Pas), bukannya masih berdiam diri dan tanpa mengambil langkah sewajarnya untuk mempertahankan ulama’ agung tersebut," ujarnya dalam kenyataannya.
Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berpendapat, peranan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga selaku Naib Presiden Majlis Ulama Sedunia dilihat amat penting untuk bersama mempertahankan Dr Yusuf.
"Lebih utama lagi, jawatan yang beliau sandang itu menjadikan satu tanggungjawab besar bagi beliau membersihkan nama baik Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradawi bersama nama-nama besar lain yang dituduh sebagai ‘pengganas’ .
"Lebih penting lagi, hubungan antara negara-negara Islam yang goyah kerana ketegangan ini perlu diperbaiki. Kerjasama yang utuh harus ditekankan dalam perjuangan menentang keganasan global, dan pertalian politik yang erat adalah tunjang kepada penyelesaian masalah ini.
"Kerajaan Malaysia selaku pendokong isu masyarakat Islam global perlu tampil ke hadapan demi membantu kemaslahatan dan keselamatan sejagat, melalui saluran yang pelbagai," ujarnya.
Menurut Nurul Izzah lagi, fitnah dan tuduhan sebagai pengganas terhadap tokoh besar umat Islam, itu dan tindakan terkini regim Mesir menahan anak perempuan beliau, Ola al-Qaradawi bersama suaminya, Hossam Khalaf ketika bercuti di Iskandariah sejurus sebelum berakhirnya Ramadhan adalah tindakan yang amat melampau.

"Apa yang pasti, penahanan demi penahanan yang tidak bermaruah ini dilaksanakan tanpa sebarang bukti dan dikhuatiri bakal mengundang bahana.
"Tangkapan ini susulan tuduhan semberono serta tidak berasas ke atas Qatar yang kononnya menyokong pertubuhan pengganas, mengakibatkan pertalian politik dengan negara terbabit diputuskan oleh empat negara Teluk berkenaan." ujarnya.
Sebagai rekod pada Jun lalu, Dr Yusuf AL-Qaradawi antara 59 individu dan 12 organisasi di Qatar, atau dibiayai negara itu, dituduh terlibat dalam keganasan oleh empat negara penentang Qatar.
Menurut Al Jazeera, senarai itu diumumkan dalam kenyataan bersama Arab Saudi, Mesir, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Seramai 18 warga Qatar turut tersenarai, termasuk ahli keluarga pemerintah negara, ahli politik dan ahli perniagaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA