Jumaat, 21 Julai 2017

NGO, pertubuhan politik berhimpun bantah keganasan Israel di Masjid Al-Aqsa



Lebih 300 orang berhimpun secara aman di Jalan Tun Razak hari ini bagi membantah keganasan terbaharu Israel terhadap Masjid Al Aqsa.
Perhimpunan selama dua jam itu bermula 2 petang di bawah kempen 'Selamatkan AlQuds' dengan disertai oleh 21 Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Muslim Care Malaysia, Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan) lain-lain.
Peserta perhimpunan sebelum itu berarak dari bangunan Lembaga Tabung Haji ke kedutaan Amerika Syarikat di sini untuk menyerahkan memorandum membantah keganasan Israel namun, tidak dibenarkan berhimpun di hadapan kedutaan itu.
Presiden Mapim Azmi Abdul Hamid berkata hanya beliau dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Prof Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor dibenarkan ke kedutaan itu untuk menyerahkan memorandum itu.
Memorandum itu bertujuan menggesa kerajaan Amerika Syarikat, yang juga sekutu kuat Israel, untuk mengambil tindakan berhubung peristiwa terkini di Masjid Al Aqsa.
"Kami serahkan memorandum itu kepada pengawal keselamatan di kedutaan itu kerana hanya dibenarkan berbuat demikian di situ.
"Kami membantah sekeras-kerasnya tindakan yang dibuat terhadap umat Islam di Palestin," katanya kepada media selepas menyerahkan memorandum berkenaan.
Azmi berkata perhimpunan itu diadakan untuk mendesak supaya dihentikan tindakan tentera Israel menutup kawasan Masjid Al Aqsa untuk umat Islam.
Manakala di Kota Bharu hari ini,  lebih 400 umat Islam menyertai demonstrasi secara aman di di sini hari ini bagi membantah tindakan rejim Zionis yang menutup Masjid al-Aqsa dan berlaku kejam terhadap umat Islam Palestin.
Bantahan banjuran Pemuda Umno Kelantan, bermula 2.15 petang di hadapan Masjid Muhammadi di sini, selepas umat Islam selesai menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.
Ketua Pemuda Umno Kelantan Mohd Azam Ismail berkata rakyat Malaysia sentiasa berdiri di belakang Palestin bagi membantah sebarang pencabulan hak asasi yang dilakukan oleh Israel terhadap umat Islam di negara itu.
Perhimpunan hari ini bukanlah bermotifkan politik tetapi atas semangat persaudaraan sesama Islam, atas dasar sama kiblat. Ini bukannya isu parti tetapi isu membabitkan umat Islam di seluruh dunia," katanya ketika ditemui media selepas demonstrasi .
Sementara itu, Dewan Pemuda Pas Kelantan turut mengadakan bantahan di lokasi berasingan yang dihadiri kira-kira 400 umat Islam.

Setiausaha Pas Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang berucap pada bantahan tersebut berkata perhimpunan itu diadakan sebagai solidariti terhadap Masjid al-Aqsa yang kini dikepung oleh tentera Israel.
"Untuk itu marilah kita bangkit untuk perjuangkan hak beragama samada berada di dalam mahupun luar negara," ujarnya.
Pada 16 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel menutup Masjid Al-Aqsa.
Menurut laporan media, polis Israel menutup Masjid Al-Aqsa dan tidak membenarkan solat Jumaat diadakan selepas tiga penduduk Palestin dan dua polis Israel terbunuh dalam pertempuran bersenjata di perkarangan masjid itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA