Jumaat, 7 Julai 2017

NGO jemput SPRM jelaskan 'pilih kasih' kes Teoh, MO1

Sebuah NGO menjemput Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan mengapa berlakunya 'pilih kasih' dalam siasatan terhadap Malaysian Official 1 (MO1).
Amanah Beng Hock Untuk Demokrasi berkata, layanan SPRM terhadap MO1 adalah sangat berbeza dengan Teoh, bekas setiausaha politik exco DAP yang disiasat dan ditemui mati di luar ibu pejabat SPRM di Shah Alam.
NGO itu menuntut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad menjawab soalan di forum yang akan dianjurkannya berjudul "Reformasi SPRM: Jalan menuju tata kelola yang baik dan hak asasi manusia".
Bagi tujuan itu, wakil-wakil dari NGO yang diketuai Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menyampaikan jemputan itu di ibu pejabat SPRM Putrajaya hari ini.
"Kenapa SPRM menyoal siasat Teoh hingga mati, tetapi tidak menggunakan kaedah siasatan serupa terhadap MO1?" kata setiausaha NGO berkenaan, Faisal Mustaffa hari ini.
Suruhanjaya Siasatan Diraja membuat kesimpulan bahawa kematian Teoh didorong oleh taktik soal siasat agresif oleh tiga pegawai SPRM.
Dalam forum yang dijadualkan pada 16 Julai ini, kumpulan itu juga mahu SPRM menjelaskan mengapa tindakan tidak diambil terhadap tiga pegawai SPRM itu dan apa jenis pembaharuan yang akan dilaksanakan untuk menjamin hak-hak asasi mereka yang ditahan.
Lima wakil menunggu kira-kira 20 minit di ibu pejabat SPRM untuk berjumpa Dzulkifli tetapi diberitahu oleh kakitangan keselamatan yang mereka hanya dapat masuk jika meninggalkan telefon bimbit dan kamera.
Ini menyebabkan protes oleh kumpulan itu yang menyatakan alatan berkenaan perlu untuk membuktikan jemputan telah diserahkan kepada Dzulkifly.
Pada ketika ini, adik perempuan Teoh, Teoh Lee Lan menegaskan bahawa beliau sebelum ini pernah menemui perdana menteri di parlimen tetapi dibenarkan membawa telefon bimbit.
"Kalau PM tak takut membawa telefon bimbit ke dalam, kenapa datuk (Dzulkifli) bertindak seolah-olah ada (ancaman) pengganas," Soalnya.
Kerana kecewa, kumpulan itu akhirnya menampalkan undangan mereka di dinding luar pejabat SPRM.

"Ini adalah peti surat baru SPRM sekarang," kata Setiausaha Eksekutif NGO itu, Ng Yap Hwa.
Samad yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad pula berkata "dinding lebih memahami daripada SPRM".
Bagaimanapun, kumpulan itu tetap optimis mengenai hasil forum itu dan turut menjemput orang ramai.
Forum itu akan berlangsung pada 16 Julai di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) dan akan bermula jam 8.30 malam.
Ahli panel yang akan bercakap dalam forum itu termasuk pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah, Presiden Badan Peguam Malaysia, George Varughese, dan wakil dari Amanah Teoh Beng Hock Untuk Demokrasi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA