Rabu, 26 Julai 2017

NAJIB MAKIN PELIK DAN TERDESAK, PENYAKIT SALLEH SAID KERUAK SUDAH MENJANGKITINYA

Pelik dan terdesak, itulah gambaran paling tepat mengenai kedudukan Najib Razak kebelakangan dan ketika ini.

Semalam, ketika berucap di sebuah program pelaburan antarabangsa, Invest Malaysia,  Najib seolah-olah berdiri dalam program politik tempatan dengan tampil menyerang dan memperlekehkan Pakatan Harapan serta Tun Mahathir Mohamad.

Apa perlunya menyerang Pakatan Harapan dan Tun Mahathir di depan mereka, selain menunjukkan kelemahan dan jiwa kacau yang sedang melanda dirinya?

Dengan berbuat demikian, beliau secara tidak langsung telah mempamerkan wajah ketakutannya kepada golongan pelabur terhadap goyangnya kedudukan kuasa yang sedang dipegangnya.

Berbanding keutamaan menarik pelabur dan meyakinkan mereka mengenai prospek ekonomi negara, Najib terlihat sangat bimbang untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang dan ini sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.

Malah, tindakannya itu meletakkan jiwa kacaunya sudah sama kronik dengan Salleh Said Keruak, salah seorang menteri lantikannya yang paling kerap mengeluarkan kenyataan.

Sejak struktur kepimpinan Pakatan Harapan berjaya dibentuk dan logonya dipersetujui dua minggu lalu, kelam-kabut dalam jiwa Salleh begitu terserlah sekali.

Mula-mula beliau menyoal dan melahirkan rasa sedih kerana tiada pemimpin DAP dalam tiga kedudukan teratas dalam Pakatan Harapan dan ia, tegas beliau, adalah gambaran parti itu dipinggirkan sedangkan DAP memiliki jumlah Ahli Parlimen teramai sekali berbanding PKR, Amanah dan Bersatu.

Sehari kemudian, Salleh berkata, yang berkuasa sebenarnya dan merupakan penentu kuasa dalam Pakatan Harapan ialah DAP. Semua pihak lain, tambahnya, terpaksa akur kepada kuasa DAP.

Ia seterusnya ditambah dengan kenyataan Setiausaha Akhbar Najib bahawa Tun Mahathir hanyalah boneka kepada DAP.

Tetapi semalam, Salleh kacau lagi jiwanya apabila berkata, DAP tidak mungkin membenarkan Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri buat kali kedua selepas Pakatan Harapan berjaya merebut kuasa.

Pokoknya, yang mana satu kenyataan Salleh itu boleh dipegang - DAP dipinggirkan atau DAP paling berkuasa?

Esok, lusa dan seterusnya, entah apa-apa lagi tulisan atau kenyataan yang bakal direka-rekanya.

Kini, Najib nampaknya sudah menjangkiti penyakit Salleh itu. Tidak cukup dengan ucapan di program UMNO, program kerajaan, bercakap di televisyen, menulis di media sosial, melalui pegawai, menteri-menteri pengampu dan saluran media arus perdana untuk menyerang Pakatan Harapan dan Tun Mahathir, di depan pelabur antarabangsa pun dilakukan perkara yang sama juga.

Jika Salleh berubah-ubah dan sukar difahami, Najib pula sudah jadi tidak menentu dari segi fokus dan apa yang patut diperkatakannya dalam sesebuah majlis yang dihadirinya.

Tidakkah ia pelik dan apa lagi kalau bukan Najib sedang terdesak keadaannya?

1 ulasan:

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA