Ahad, 2 Julai 2017

Najib dipinggir pemimpin penting Umno


Najib dipinggir pemimpin penting Umno, kata Liew Chin Tong
Kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri malam tadi yang menyerang DAP membuktikan Najib Razak semakin hilang sokongan di kalangan pemimpin penting Umno. 
Perdana Menteri Najib Razak semakin terasing di kalangan golongan elit pemerintah tanpa pemimpin penting Umno, selain pengikut setia yang bersedia mempertahankannya secara terbuka, kata DAP.
Ahli Parlimen Kluang dan Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berkata, daripada perbincangan dengan rakannya dalam Umno, beliau mengetahui Najib semakin lemah pada separuh pertama 2017 dengan terlalu yakin dengan dirinya dan membesar-besarkan peranannya terhadap lawan dalam partinya.
"Sesetengah mereka sangat tidak berpuas hati dengan kebenaran yang didedahkan," kata Liew, sambil menambah mengapa setiausaha akhbar perdana menteri melancarkan serangan lewat malam terhadap DAP dan dirinya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada jam 11 ​​malam tadi.
"Dalam keadaan biasa, ada menteri dan pemimpin Umno mencukupi di luar sana untuk mempertahankan presiden mereka yang juga perdana menteri, tanpa perlu menyusahkan Pejabat Perdana Menteri," kata Liew dalam satu kenyataan hari ini.
Liew memberi respons terhadap kenyataan dikeluarkan setiausaha akhbar Najib, Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad malam tadi yang memberi amaran kepada DAP menyelesaikan urusan dalamannya dan bukan menyebarkan berita palsu mengenai kerajaan.
"Kenyataan Tengku Sariffuddin jelas pada saat yang pelik.
"Analisis saya sehari sebelumnya membangkitkan kemarahan perdana menteri. Realitinya adalah: Najib semakin terasing di kalangan elit pemerintah. Tiada pemimpin penting Umno bersedia mempertahankannya secara terbuka.
"Jika analisis saya hanyalah 'berita palsu, memburuk-burukkan dan pembohongan terang-terangan' seperti dakwaan Tengku Sariffuddin, tidak perlu beliau turun daripada kedudukannya yang tinggi untuk menjawabnya, apatah lagi serangan malam yang terdesak, yang sangat luar biasa dalam masyarakat kita.
"Jelas sesuatu sedang berlaku dalam Umno dan saya menyentuh perkara sensitif. Kebenaran itu menyakitkan," jawab Liew pagi ini.
Dalam kenyataannya sebelum ini, Liew berkata pada awal tahun ini, Najib begitu yakin beliau merancang untuk menggugurkan beberapa menteri, ketua menteri dan menteri kanan pada pilihan raya umum akan datang.
Ahli Parlimen Kluang berkata rakannya dalam Umno berpendapat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini di Melaka dan Johor mempunyai kaitan dengan percubaan memecat menteri besar kedua-dua negeri dan menggantikan mereka dengan pemimpin baru yang lebih setia kepada Najib.
Liew juga berkata Najib turut cuba mengetepikan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Mansor dan pemimpin Umno veteran Annuar Musa.

"Tengku Sariffuddin berusaha keras untuk mengalih perhatian daripada semua fakta ini dengan memanggil Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai 'Penang Official 1' dalam cubaan menyamakan 'Malaysiaan Official 1' yang diberi kepada Najib, seperti dinyatakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ), melalui saman mahkamah yang melibatkan 1MDB.
"Tengku Sariffuddin juga mengancam DAP yang pendaftarannya berisiko dibatalkan jika Lim Guan Eng tidak dikeluarkan, jika Lim Kit Siang tidak bersara dan jika Tan Seng Giaw tidak dilantik sebagai ketua baru."
Liew mempersoalkan jika Tengku Sariffuddin menyedari beliau mengesahkan dakwaan terhadap Lim bermotifkan politik dengan matlamat mengalihkan perhatian terhadap skandal Najib.
"Adakah beliau juga sedar yang beliau menyalahgunakan jawatannya sebagai setiausaha akhbar kepada perdana menteri untuk menakut-nakutkan parti politik yang sah?
"Secara tidak sengaja, kenyataan Tengku Sariffuddin juga mengesahkan pemikiran Najib yang rancangan permainan perdana menteri itu akan melibatkan mengharamkan DAP sebelum pilihan raya umum akan datang.
"Kerajaan sudah mencuba sekali sebelum ini pada 2013 tetapi ia tidak berlaku sebagaimana yang dirancang."
Liew juga menegaskan hakikat yang Najib, seperti dilihat melalui pernyataan Sariffuddin, cepat melatah dengan dakwaan berdepan masalah, hanya mengesahkan faktor yang perdana menteri secara politik semakin lemah.
DoJ sedang bertindak terhadap tiga saman untuk merampas harta benda, karya seni dan aset kewangan yang didakwa dibeli dengan wang dicuri daripada 1MDB.
Saman terbaru yang difailkan pada 15 Jun mendakwa AS$540 juta (RM2.31 bilion) digunakan untuk membeli antara lain, sebuah kapal layar AS$165 juta dan kalung bernilai AS$ 27.3 juta untuk isteri "MO1".
Menteri Abdul Rahman Dahlan sebelum ini mengesahkan MO1 adalah Najib. Tetapi perdana menteri menafikan sebarang salah laku.
"Tetapi, kenyataan Tengku Sariffuddin juga menunjukkan, Najib akan melakukan apa sahaja, termasuk menarik pendaftaran DAP, untuk kekal berkuasa," kata ahli Parlimen DAP itu.

1 ulasan:

  1. Lama2 lambat laum kwn keliling pun xpercaya...

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA